Program Baharu Kampus Kita FM Kembali Bersiaran 2 Januari 2018

JUMAAT, 22 DISEMBER - Program Baharu Kampus Kita FM (KKFM), radio kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan kembali bersiaran pada 2 Januari 2018.

Dekan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Prof. Dr Ismail Ibrahim berkata, program radio tersebut akan bersiaran selama 12 jam bermula enam pagi hingga enam petang dan menyajikan pelbagai program ilmiah dan hiburan yang menarik, khas untuk halwa telinga para pendengar.

"Radio kampus yang bersiaran pada frekuensi FM91.1 ini dikelolakan oleh empat kakitangan UMS dan dibantu oleh pelajar-pelajar prasiswazah yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar jurusan Komunikasi.

"Kita juga akan membangunkan Aplikasi Radio dalam masa terdekat bagi membolehkan pendengar mengikuti siaran kita secara live streaming melalui aplikasi tersebut, selain turut meluaskan paparan di media sosial iaitu Facebook, Instagram dan Twitter," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam dan Pelancaran Program Baharu Radio Kampus Kita FM di Likas Square Apartment Hotel, malam tadi.

Menurut beliau, dalam satu soal selidik yang dijalankan dua tahun lalu, sebanyak 64.7 peratus responden yang terdiri daripada pelajar dan masyarakat umum sekitar mendengar KKFM kerana rancangannya yang berinformatif dan pilihan lagu yang menghiburkan.

"Di sini jelas bahawa radio kampus mampu meraih ramai pendengar dan ini membantu dalam mencapai misi radio iaitu menjadi sebuah radio kampus terunggul dalam kalangan pelajar" katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam ucapan perasmiannya berkata, perkembangan radio kampus adalah suatu perkara yang lazim bagi universiti-universiti  terkenal di luar negara.

"Di UMS, radio kampus yang bernaung di bawah Radio Televisyen Malaysia (RTM) merupakan wadah kepada rancangan-rancangan kerajaan dan universiti supaya inti patinya dapat disalurkan kepada seluruh warga universiti dan masyarakat. 

"Ia juga menyumbang kepada peningkatan pemahaman pembelajaran kepada pelajar apabila berdepan dengan peralatan canggih, didedahkan lagi dengan perkembangan terkini industri serta mempelajari teknik komunikasi yang baik sesuai dengan hala tuju universiti seiring dengan ledakan revolusi industri 4.0,"ujar beliau.

Pada majlis tersebut, penghargaan khas diberikan kepada Sahabat-sahabat Media UMS atas sumbangan dalam membuat liputan dan menyebar luas berita tentang UMS serta sokongan terhadap acara-acara yang dianjurkan oleh UMS selama ini.

Turut diraikan kakitangan FKSW yang cemerlang antaranya Prof Madya Dr.Jabil bin Mapjabil bagi anugerah The Most Outstanding Staff  FKSW, Eko Prayitno Joko bagi anugerah The Most Promising Staff FKSW dan Afendih Ambrih The Best Staff, FKSW.

Hadir sama pada majlis tersebut Pemangku Pengarah RTM Sabah, Malinaziah Datu Mohd Julaspi dan Pendaftar UMS, No'man Ahmad.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.