UMS – DBKK Jayakan Seminar Pelancongan Komuniti

ISNIN, 29 JANUARI - Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), dan Pusat Penyelidikan Pelancongan Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Seminar Pembangunan Produk Pelancongan 2018 di Kampung Kobuni,  Inanam pada Sabtu.

Pengerusi seminar merangkap Pensyarah Kanan FPEP UMS, Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul berkata, seminar anjuran bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu bersempena program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi Pelancongan Berasaskan Komuniti di sekitar bandar raya Kota Kinabalu.

“Kampung Kobuni telah menjadi tumpuan sebagai salah satu tapak pelancongan komuniti yang baharu dan berpotensi di Kota Kinabalu.

“Justeru, seminar tersebut dianjurkan untuk membantu masyarakat setempat menyusun strategi perancangan dan pembangunan pelancongan mereka,” katanya ketika ditemui media selepas seminar itu.

Menurut Dr. Awangku Hassanal, walaupun pelancongan di Kampung Kobuni masih berada di peringkat awal, ia telah menerima kehadiran ramai pengunjung terutamanya pelajar sekolah dari seluruh negara di samping  telah dinobatkan sebagai penerima 'Anugerah Desa Sejahtera' peringkat daerah pada 2014.

“Pada tahun lalu, Kampung Kobuni juga memenangi Anugerah Kampung Terbersih pada pertandingan Kampung Bebas Sampah anjuran DBKK,” tambahnya yang turut memberi ceramah pada seminar itu.

Sementara itu, Pengarah Ekonomi, Pelancongan dan Biro Hubungan Antarabangsa DBKK, Fauziahton Awang Samad turut berharap agar seminar itu mampu membantu penduduk setempat untuk memajukan lagi sektor pelancongan di kampung tersebut.

“Saya juga berterima kasih kepada UMS dan berharap agar universiti ini akan terus menyokong pelancongan berasaskan komuniti di Kota Kinabalu melalui program-program seumpama ini,” ujarnya.

Pada seminar berkenaan, Dr. Awangku Hassanal bersama dua lagi Pensyarah Kanan Program Pengurusan Pelancongan UMS; Dr. Tini Maizura Mohtar dan Kamarul Mizal Marzuki berkongsi idea serta membantu masyarakat setempat dalam merancang dan membentuk pelancongan di kampung tersebut.

Seminar sehari itu disertai seramai 30 penduduk Kampung Kobuni.

Majlis perasmiannya disempurnakan  Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Negeri Sabah, Ag. Ahmad Zaki Abu Bakar.

 

Sumber: Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan

 

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.