Terapkan Nilai Kesukarelawan Menerusi Gotong Royong: Datuk Mary

ISNIN, 12 FEBRUARI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneruskan misi membuka ruang dan peluang kepada siswa siswi menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat menerusi program Gotong Royong Bersama Komuniti Tawau.

Program yang diadakan bertempat di Taman Awam Pelita melibatkan kerjasama di antara 130 pelajar UMS turut mendapat sokongan daripada penduduk perumahan Taman Bintang dan Taman BDC serta penglibatan daripada agensi kerajaan di Tawau dan pelajar MRSM Tawau.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching, program gotong royong bukanlah sekadar membersihkan kawasan tetapi ia menerapkan nilai kesukarelawan dalam diri siswa siswi.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggalakkan pelajar melibatkan diri dengan aktiviti kesukarelawan dan membantu masyarakat menerusi program seperti ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada UMS, agensi kerajaan di Tawau dan penduduk Taman Bintang dan Taman BDC yang memberikan sepenuh sokongan bagi menjayakan program murni ini,” kata Datuk Mary yang turut merasmikan program gotong royong ini.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali berkata, program kesukarelawan dapat menyemai jiwa keprihatinan dalam diri siswa siswi UMS.

“Menerusi program sebegini, ia akan dapat membentuk sikap tolong menolong dan sensitif dengan setiap masalah yang wujud dalam masyarakat.

“Selain itu, siswa siswi UMS dapat mengenali budaya masyarakat di sekitar Tawau ini,” katanya.

Selain gotong royong membersihkan kawasan perumahan, aktiviti pemeriksaan kesihatan percuma turut dijalankan.

Turut terlibat menjayakan program ini ialah Majlis Perbandaran Tawau, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan, Hospital Tawau, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Penjara dan Kementerian Belia dan Sukan.

Turut hadir memeriahkan aktiviti ialah Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dan Pengurus Harta Benda MPT, Lily Medriana Serigar.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.