UMS Serah Rumah Komuniti

ISNIN, 12 FEBRUARI – “Syukur alhamdulillah dan saya sangat gembira kerana Universiti Malaysia Sabah dapat bagi rumah kepada saya,” kata penerima rumah komuniti projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) UMS, Hamidah Isa dari Kg. Blok 31, Tawau kelmarin.

Hamidah, 60, seorang surirumah berkata, beliau telah membuat permohonan untuk mendapatkan rumah sejak 6 tahun lalu.

“Akhirnya, melalui usaha murni UMS dan Majlis Perbandaran Tawau, saya sudah dapat sebuah rumah yang selesa untuk didiami bersama suami dan anak,” katanya.

Beliau turut berterima kasih dan menyanjung tinggi inisiatif yang telah dimainkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching yang sering membantu golongan susah sepertinya.

Sementara itu, Datuk Dr. Mary Yap dalam ucapannya berkata, inisiatif untuk membina rumah komuniti dicetuskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh yang membinanya di Besut, Terengganu yang juga merupakan kawasan Parlimennya.

“Oleh itu, saya berpendapat daerah Tawau juga mesti ada rumah komuniti,” tegas yang mendapat tepukan gemuruh dari penduduk kampung.

Beliau yang juga Ahli Parlimen P190 Tawau menambah, pemberian rumah komuniti oleh UMS ini telah banyak membantu mengurangkan beban Hamidah dan keluarganya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS berkata, rumah yang berkeluasan 600 kaki persegi ini mempunyai 3 bilik tidur dan bilik air.

“UMS membina rumah ini dengan peruntukan sebanyak RM20 ribu dan disiapkan dalam tempoh sebulan,” katanya.

Jelas beliau lagi, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS membina sebanyak empat buah rumah di empat daerah iaitu Kota Belud, Tawau, Sandakan dan Sipitang.

“Rumah komuniti di Kota Belud telah diserahkan kepada penerima 3 minggu lalu dan dua lagi akan diserahkan kepada penerima dalam jangka masa terdekat,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin serta pegawai-pegawai utama dan kanan UMS.