UiNVEST - SSTC Meterai Kerjasama, Tawar Program Berkaitan Perladangan

SELASA, 27 MAC 2018 - Syarikat milik penuh Universiti Malaysia Sabah, UMS Investment Holdings Sdn Bhd. menandatangani Perjanjian Kerjasama bersama Kolej Sabah Skills & Technology Centre (SSTC) dalam satu majlis yang berlangsung di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UiNVEST, Ramlan Awang Ali berkata, perjanjian yang ditandatangani itu menjurus kepada kerjasama dalam bidang penawaran program Sijil Pengurusan Perladangan dan Kemahiran Industri dalam Pengurusan Agro-Bisnes.

“Perjanjian kerjasama ini dilihat sebagai salah satu usaha untuk memantapkan pembangunan pendidikan serta kemahiran untuk golongan belia di Sabah selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri ke arah pembangunan kemahiran industri yang lebih kompeten dan berdaya saing.

“Usaha sama ini juga merupakan langkah untuk menggalakkan penglibatan golongan muda di Sabah agar mempunyai kepakaran dan pengetahuan teknikal bekerja dalam bidang perladangan dan agro pertanian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ramlan, menerusi program itu ia akan meningkatkan pengetahuan para pelatih melalui pembelajaran berasaskan pengalaman kerja.

“Pada masa yang sama, pelatih akan dilatih untuk menjadi pekerja yang profesional dan terlatih kerana amalan sebenar persekitaran kerja dalam industri akan didedahkan kepada mereka sepanjang pengajian.

“Kedua-dua program kemahiran ini akan melibatkan tempoh pengajian selama setahun di SSTC,” tambahnya sambil menyifatkan pengajian itu amat bersesuaian untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan yang setaraf atau lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang setaraf.

Ramlan turut memberi contoh negara Jepun, Australia dan Belanda yang menjadikan aktiviti perladangan dan pertanian sebagai salah satu sumber pendapatan utama.

“Berdasarkan kepada pencapaian negara-negara yang saya sebutkan tadi,  terbukti bahawa bidang pertanian adalah salah satu bidang yang menjanjikan peluang pekerjaan yang luas sekali gus menafikan tanggapan segelintir pihak yang berfikiran bahawa perusahaan pertanian sebagai pekerjaan kelas kedua.

“Justeru, saya ingin menyeru kepada masyarakat khususnya generasi muda untuk merebut peluang terhadap program-program yang akan ditawarkan nanti termasuk mereka yang tidak berjaya menerima tawaran dari mana-mana universiti,” katanya.

Pada majlis tersebut SSTC diwakili pengarahnya Natalie Fung serta Pengurus Latihan, Jennifer Michael.

Hadir sama, Pengurus Besar Kumpulan UiNVEST, Yusak Yumboris @ Misek; Ketua UMS Centre For Profesional Development (UCPD), Mohd Hamdan Ruhimin; dan Ketua Seksyen Pemasaran dan Promosi UiNVEST, Nerwani Shereen Halik.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.