PESOLAR 2018 Platform Bincang Isu Pembangunan Sumber Dan Komuniti Luar Bandar

SELASA, 3 APRIL – Seminar Pembangunan Sumber dan Komuniti Luar Bandar Kebangsaan (PESOLAR) 2018 yang berlangsung di Hotel Grand Borneo, Kota Kinabalu mampu menjadi platform terbaik menghimpunkan golongan ahli akademik dan wakil agensi serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi membincangkan isu pembangunan sumber dan komuniti luar bandar dalam konteks negara Malaysia.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, pelbagai isu dan cabaran membabitkan pembangunan, komuniti dan alam sekitar perlu ditangani berdasarkan pendekatan lestari melalui kajian ilmiah yang sistematik secara antara disiplin kerana pendekatan sebegini boleh menghasilkan cadangan penyelesaian yang jitu dan realistik.

“Konsep ‘pembangunan’ sumber dan komuniti luar bandar telah menjadi kata kunci dalam perancangan dan pembangunan sosioekonomi dan politik negara sejak merdeka, manakala konsep pembangunan lestari merupakan pendekatan yang ideal kerana menekankan keseimbangan pembangunan dalam aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar khususnya kepada komuniti luar bandar.

“Tugas bagi mencapai keseimbangan ini bukanlah suatu perkara yang mudah, tetapi kita semua harus menghadapinya dengan tabah dan berbekal ilmu pengetahuan dan kepakaran yang diiktiraf dan berinovasi,” katanya dalam ucapan aluan seminar PESOLAR 2018 yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Seri Panglima Radin Malleh.

Ujar beliau, penganjuran seminar tersebut adalah tepat pada masanya dan merupakan suatu platform dalam perkongsian idea, pengetahuan dan maklumat oleh pelbagai pihak bagi bersama-sama berganding bahu demi mencapai wawasan negara.

Dalam pada itu, Datuk Seri Panglima Radin Malleh dalam ucapan perasmiannya berkata, seminar PESOLAR 2018 bertepatan dengan aspirasi Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah yang memberikan fokus terhadap usaha memperkukuhkan pembangunan sumber dan komuniti luar bandar bagi kemakmuran masyarakat luar bandar.

“Di samping itu, kementerian sedang merancang mewujudkan lebih banyak program dan aktiviti bagi mempertingkatkan lagi kualiti hidup komuniti luar bandar.

“Kementerian turut mempergiatkan pembangunan luar bandar serta mengukuhkan sosioekonomi secara holistik untuk kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.

Bertemakan “Merekayasa Produktiviti Sumber Untuk Kemakmuran Komuniti Luar Bandar”, seminar selama tiga hari itu bakal menyaksikan sebanyak 10 buku karya suntingan yang melibatkan 112 bab hasil pembentangan seminar bakal diterbitkan.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.