UMS, UTHM Teroka Peluang Kolaborasi Kelestarian Kampus

SELASA, 10 APRIL - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat Pengurusan EcoCampus bersama Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan ‘Kolokium Kelestarian Kampus dan Alam Sekitar 2018’ di Cafe D’Sireh, Bangunan Canselori UMS kelmarin.

Menurut Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus, Kueh Boon Hee yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Kolokium, tujuan utama kolokium berkenaan adalah untuk berkongsi inisiatif dan pencapaian EcoCampus UMS dengan delegasi UTHM,  selain berkongsi maklumat dan data penyelidikan berkaitan di antara UMS dan UTHM serta menjalin hubungan dan kerjasama yang lagi erat di antara UMS dan UTHM, khususnya FAST pada masa hadapan.

“Sesungguhnya apabila UMS mengetengahkan EcoCampus sebagai agenda universiti pada 2013, pihak universiti berharap agar segala usaha dan program yang diiltizamkan mampu memupuk gaya hidup hijau di kalangan warga universiti yang merangkumi para siswa-siswi dan kakitangan, malahan untuk setiap pemegang taruh, termasuklah para pelawat ke UMS,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kelestarian kampus harus menjadi sumbangan daripada universiti kepada pihak berkuasa tempatan agar boleh membentuk negeri masing-masing yang mesra alam sekitar dan pembangunan lestari dan seterusnya membantu negara ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari 2015-2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (‘United Nations Sustainable Development Goals 2015-2030’).

Dalam pada itu, Ketua Delegasi UTHM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin dan Prof. Emeritus Datin Dr. Maryati Mohamed menyarankan agar jabatan yang menerajui aspek kelestarian kampus daripada kedua-dua universiti ini boleh mengadakan pertemuan untuk menyemarakkan kerjasama ke arah kelestarian kampus yang menyeluruh di antara kedua-dua universiti.

Kolokium ini melibatkan sesi pembentangan daripada pensyarah Fakulti Kejuruteraan (Dr. Abu Zahrim Yaser), Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (Julius Kulip) serta Pusat Pengajian Pascasiswazah (Prof. Madya Dr. Fauziah Sulaiman) UMS dan pembentangan daripada FAST, UTHM pada sebelah pagi.

Pada sebelah petang, rombongan UTHM telah dibawa untuk melawat beberapa lokasi dan kemudahan kelestarian kampus di UMS, iaitu Pusat Informasi Pelawat EcoCampus (EVIC), Makmal Penyelesaian Alam Sekitar (Fakulti Sains dan Sumber Alam), Tapak Pengkomposan Sisa Organik (Fakulti Kejuruteraan), Pusat Minda Lestari dan Galeri BORNEENSIS (Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan).

Program tersebut menerima maklum balas yang amat memberangsangkan daripada para peserta, khususnya 34 orang siswa-siswi FAST, UTHM yang kebanyakan daripada mereka merupakan pelawat kali pertama ke UMS dan negeri Sabah.

Turut hadir adalah Ketua Jabatan Teknologi dan Warisan FAST, UTHM, Prof. Madya Dr. Alona Cuevas Linatoc

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.