Program Serampang Dua Mata Siswa FPSK UMS Bantu Tangani Isu Kesihatan Di Pedalaman Sabah

SELASA, 17 APRIL - Siswa-siswi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa mempergiatkan aktiviti turun padang ke kawasan pedalaman Sabah bagi menjalankan kajian berkaitan isu kesihatan dan cara menanganinya dalam kalangan penduduk kampung di pedalaman Sabah.

Terbaru, pelajar perubatan Tahun Empat UMS telah mengadakan program promosi kesihatan bersama penduduk di Kampung Tiga Papan, Kudat dengan kerjasama seramai 39 pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang turut membantu menjayakan program tersebut.

FPSK dalam satu kenyataan menjelaskan, aktiviti promosi kesihatan tersebut adalah termasuk dalam modul pembelajaran "Community Medicine Posting" bagi pelajar perubatan tahun empat.

"Dalam aktiviti ini pelajar-pelajar dikehendaki membuat satu kajian kesihatan dalam sesebuah kampung untuk mengetahui isu-isu kesihatan penduduk, serta akan membuat satu program promosi kesihatan sebagai langkah menangani isu-isu kesihatan tersebut.

“Program ini turut mendapat bantuan dan kerjasama daripada ahli-ahli akademik dan pelajar dari USIM, dan diharap kerjasama serampang dua mata antara UMS dan USIM ini dapat mengetengahkan pertukaran idea dan perkongsian pengalaman dalam membentuk dan melahirkan doktor-doktor muda yang berpengetahuan dan berkemahiran,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Hasan Basri Awang Mat Dan ketika berucap merasmikan program tersebut berkata, salah satu objektif penyertaan pelajar-pelajar USIM dalam program promosi kesihatan ini adalah agar para peserta dapat diperkenalkan dengan pertuturan, budaya-budaya dan cara hidup komuniti di negeri Sabah.

“Hal ini akan memberi keuntungan kelak jika graduan-graduan USIM mendapat penempatan di hospital-hospital di Sabah.

“USIM juga berhasrat untuk memberikan peluang kepada pelajar-pelajar bagi mendapatkan pengalaman yang tidak ternilai harganya sepanjang tempoh lawatan mereka dan secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara USIM dan UMS untuk kebaikan bersama pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, wakil pelajar FPSK UMS, Requina Peter menjelaskan, para peserta dari UMS telah berkampung selama enam minggu di Sikuati bagi menjalankan kajian mengenai isu-isu kesihatan penduduk setempat, dengan Kampung Tiga Papan dipilih sebagai lokasi kajian.

Katanya, berdasarkan hasil kajian, isu berat badan berlebihan menjadi perhatian dan menjurus kepada pelaksanaan program promosi kesihatan yang bertujuan untuk menyedarkan penduduk kampung mengenai bahaya obesiti dan langkah ke arah gaya hidup sihat.

“Memilih tema dan slogan ‘Tiada Rasa Yang Lebih Baik Selain Rasa Sihat’, ini adalah selaras dengan objektif bagi penekanan terhadap pentingnya penjagaan kesihatan, dan nikmat kesihatan itu hanya dirasai sewaktu kita sakit.

“Salah satu simptom penyakit kronik adalah hilang selera makan, dan pada ketika itu jika dihidangkan makanan selazat apa pun tiada tandingnya dengan keinginan untuk rasa sihat semula,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tiga Papan, Richard Somiun dalam majlis itu turut merakamkan penghargaan kepada pihak UMS dan USIM atas pelbagai aktiviti dan kajian yang dijalankan dan memberi manfaat besar kepada masyarakat kampung.

“Saya juga memohon agar hasil kajian yang dijalankan berkaitan isu-isu kesihatan termasuklah cadangan langkah dan keperluan-keperluan tertentu bagi isu tersebut dapat dipanjangkan kepada pihak berkaitan untuk perhatian dan tindakan.

“Diharapkan Kampung Tiga Papan akan terus menjadi pilihan utama bagi pelaksanaan program berkaitan komuniti, dan penduduk kampung ini sentiasa menerima kehadiran anda dengan tangan terbuka dan bersedia untuk memberi sepenuhnya komitmen dan kerjasama untuk menjayakan program-program komuniti pada masa akan datang,” ujar beliau.

Pada program tersebut, turut diadakan pameran pendidikan dan poster berkaitan isu kesihatan serta pemeriksaan kesihatan secara percuma khusus kepada penduduk kampung yang hadir.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.