Program 3u1i UMS-MTIB Bantu Tingkat Kebolehpasaran Graduan Industri Perkayuan

KHAMIS, 19 APRIL – Kerjasama antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Lembaga Industri Perkayuan Malaysia (MTIB) dalam program 3u1i, iaitu tiga tahun di universiti dan satu tahun di industri mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan UMS khususnya dalam bidang industri perkayuan apabila tamat pengajian kelak.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, program 3u1i adalah pendekatan pembelajaran baharu yang berasaskan pekerjaan, yakni pelajar terutama yang berasaskan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan menghabiskan satu tahun pengajian atau dua semester akhir mereka di industri bagi menimba pengalaman pembelajaran di dunia sebenar berbanding pada waktu terhad semasa latihan industri.

“Ini bertujuan meningkatkan pengalaman pelajar melalui pembelajaran berasaskan pengalaman dan perkhidmatan yang dapat diterokai di luar kampus atau di industri yang mana pengalaman sebenar dapat disediakan oleh pihak industri yang terlibat.

“Program ini akan memberi lebih manfaat kepada pelajar apabila mendapat pendedahan yang lebih lama dalam industri, dan program Teknologi dan Industri Kayu (HY11) yang merupakan salah satu kursus dari Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) akan menerajui program 3u1i pertama di peringkat UMS ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMS dan MTIB di Galeri Majlis, UMS pagi tadi.

Menurut beliau, melalui MoU tersebut MTIB akan berperanan sebagai Industry Lead Body (ILB) dalam bidang perkayuan untuk membantu membimbing kursus peneraju dari UMS ini dalam penyesuaian pembelajaran dan pendedahan terhadap amalan industri.

“Diharapkan melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak mampu meningkatkan kualiti dalam industri perkayuan, sekali gus meningkatkan aktiviti ekonomi negara,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Datuk D Kamarudin mewakili UMS menandatangani dokumen MoU tersebut, sambil disaksikan oleh Pendaftar UMS, No’man Ahmad, manakala MTIB diwakili Ketua Pengarahnya, Dato’ Dr. Jalaludin Harun dan disaksikan oleh Ketua Wilayah MTIB Sabah, Mazree Iman.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Ketua Pengarah MTIB, Hajah Noor Laila Mohamad Halip; Penolong Naib Canselor, Prof Dr. Marcus Jopony; dan Dekan FSSA, Prof. Dr. Baba Musta.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.