UMS Terima Bantuan Pembiayaan RM5 Juta Untuk Projek Infrastruktur ICT

JUMAAT, 20 APRIL – Pelaksanaan projek Smart Infra ICT Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menerima bantuan pembiayaan daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kos sebanyak RM5 juta sebagai permulaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak berkata, projek ini akan merangkumi pemasangan rangkaian fiber menghubungkan bangunan dan premis selain pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi-lokasi strategik yang bertujuan untuk memantau keselamatan di dalam kampus UMS.

“Rangkaian fiber dan komponen keselamatan yang akan dibangunkan dilihat mampu membantu pihak pentadbiran UMS merealisasikan pelaksanaan Smart Eco UMS 4.0 bagi menjamin persekitaran selamat di kalangan warga UMS serta bakal menjadi platform berpusat pemprosesan insiden dan analisis data. 

“Saya optimis dan yakin bahawa dengan penambahbaikan infrastruktur ICT yang dilakukan ini akan dimanfaatkan sebaiknya oleh warga universiti, serta mampu menjadikan UMS sebagai model dan rujukan dalam pembangunan teknologi digital, mempertingkatkan keberkesanan penyampaian maklumat dan seterusnya mempromosikan UMS sebagai destinasi utama pengajian tinggi di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena merasmikan Pelancaran Smart Infra ICT UMS di Dewan Bankuasi, UMS pagi tadi.

Menurut beliau,  pelaksanaan projek Smart Infra ICT UMS adalah satu usaha baik dan merupakan kesinambungan dalam menyokong usaha kerajaan memenuhi keperluan pembelajaran dan penyelidikan secara lestari kepada universiti awam.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, kerjasama pintar antara UMS dan KKMM amat bermakna sebagai satu jambatan yang menghubungkan jurang antara teknologi maklumat dan membolehkan UMS menjadi sebuah Connected Campus.

Katanya, ledakan maklumat yang sentiasa ada di mana jua boleh dicapai melalui penyediaan infrastruktur yang baik.

“Maka, dengan peluang ini diharapkan kita semua dapat memanfaatkan kemudahan ini untuk membina masa depan yang cerah untuk generasi akan datang.

“Adalah penting untuk memastikan prasarana telekomunikasi terutamanya kemudahan jalur lebar disalurkan ke Universiti Awam seperti UMS bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan siswa siswi Universiti Awam serta melengkapkan diri mereka dengan keperluan zaman digital,” kata Datuk D Kamarudin.

Ujar beliau, usaha ini dapat dilaksanakan dengan inisiatif komuniti pintar dan dilaksanakan di peringkat mikro dengan memastikan liputan perkhidmatan serta penggunaan ICT diperkasakan kepada seluruh komuniti.

Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Pegawai Operasi SKMM, Datuk Dr. Mazlan Ismail

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.