Sambutan Earth Day 2018 Semai Kesedaran Kepentingan Kelestarian Alam

SELASA, 24 APRIL – Sambutan Earth Day 2018 Peringkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu menyemai kesedaran tentang kepentingan terhadap usaha melestarikan alam sekitar dalam kalangan warga universiti khususnya, dan juga masyarakat setempat secara amnya.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof berkata, hal ini penting kerana bumi telah sekian lama terkesan dengan perkembangan revolusi industri yang turut menyebabkan pemanasan global pada muka bumi.

“Tidak dinafikan perkembangan terhadap revolusi industri sebenarnya adalah satu usaha untuk memperbaiki kualiti hidup manusia, tetapi tanpa disedari usaha tersebut turut memberikan kesan terhadap kerosakan alam sekitar.

“Justeru, satu usaha harus dimulakan agar aktiviti yang menjurus kepada kerosakan muka bumi dapat dibendung segera, dan alam sekitar dapat dilestarikan untuk diwarisi generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan tersebut di Foyer Bangunan Fakulti Kejuruteraan (FKJ), UMS pagi tadi.

Beliau turut menyeru para penyelidik, ahli akademik dan pelajar UMS khususnya dari FKJ agar terus mengeluarkan idea dan inovasi baru dari sudut kejuruteraan yang mampu membantu kepada aspek kelestarian alam sekitar.

“Misalnya, sebuah bot boleh direka bentuk dengan fungsinya untuk memerangkap atau mengangkut plastik dan sampah sarap di permukaan laut,” ujar beliau.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena program anjuran bersama Pusat Pengurusan EcoCampus dan FKJ itu, antaranya ceramah khas dari pensyarah UMS dan agensi luar, pameran poster penyelidikan, jualan bunga hasil bahan kompos, lawatan tapak pengkomposan, dan pertandingan mewarna yang dijayakan oleh kanak-kanak dari Pusat Minda Lestari UMS dan Sekolah Rendah Islam Kota Kinabalu (SRIKK).

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus, Prof. Madya Dr. How Siew Eng; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FKJ, Dr. Mohd. Kamel Wan Ibrahim; dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FKJ, Dr. Abu Zahrim Yaser.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.