Hari DNA UMS Platform Pupuk Minat Terhadap Sains Dan Teknologi

RABU, 24 APRIL – Penganjuran Hari DNA Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu memupuk dan menggalakkan minat serta penglibatan dalam bidang sains dan teknologi dalam kalangan pelajar dan komuniti luar.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, ini adalah selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dalam aspek memupuk kesedaran, pengetahuan dan kemahiran berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sekali gus memungkinkan satu masyarakat berinovatif dan berfikiran secara saintifik.

“Hari ini tercatat sebagai ulang tahun ke-65 terhadap penerbitan berkaitan sifat-sifat DNA dalam Nature Journal, dan sejak hari bersejarah itu, pelbagai kejayaan yang signifikan dalam bidang bioteknologi dicatat antaranya penemuan terhadap Human Genome Sequences pada tahun 2003.

“Justeru, saya melihat program ini sebagai peristiwa penting dalam memberikan kita peluang untuk mengetahui penemuan masa lalu, pengaruhnya terhadap generasi pada masa ini, dan memahami sejauh mana pemahaman terhadap DNA mampu membawa perubahan pada masa akan datang,” katanya dalam ucapan perasmian program tersebut yang dibacakan oleh wakil beliau, Timbalan Pengarah (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB), Dr. Ruzaidi Azki Mokhtar di Auditorium IPB, UMS pagi tadi.

Beliau menambah, sambutan Hari DNA ini diharap akan memberi inspirasi dan keghairahan terhadap setiap usaha penemuan sains dalam kalangan pelajar muda.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang dua hari berlangsungnya sambutan Hari DNA tersebut, antaranya pameran pendidikan berkaitan DNA, lawatan ke makmal, ceramah khas, forum kerjaya dalam sains dan bioteknologi, dan aktiviti berkumpulan berkaitan pembentukan model sel dan DNA yang dijayakan pelajar dari SM La Salle, Maktab Sabah, Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, SMK Beaufort, SM All Saints, dan SK Kokol.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan) IPB, Dr Cahyo Budiman dan pengerusi penganjur program, Dr. Teoh Peik Lin.

 

 

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.