Perkembangan Teknologi Digital Ganggu Sistem Kekeluargaan

KHAMIS, 26 APRIL – Di sebalik pelbagai manfaat yang diperoleh oleh perkembangan teknologi digital dalam kehidupan seharian masyarakat, namun kemudahan tersebut turut memberi kesan buruk terhadap sistem kekeluargaan serta menjadikan sistem keluarga berhadapan pelbagai cabaran besar seiring dengan era digital pada hari ini.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, kemunculan pelbagai kemudahan digital pada hari ini bukan sahaja mempengaruhi kehidupan golongan dewasa bahkan juga kanak-kanak.

“Kepesatan perkembangan teknologi digital telah menyebabkan kehidupan kita banyak bergantung pada telefon pintar, internet dan komputer, dengan pelbagai capaian aplikasi yang ada telah membantu memudahkan urusan kerja dan komunikasi kita serta membantu proses pembelajaran kanak-kanak dari pelbagai lapisan umur.

“Walau bagaimanapun, di sebalik manfaat dan kebaikan kemudahan digital ini, terdapat juga keburukan yang boleh mengganggu sistem keluarga dan sekali gus menjejaskan sistem perkembangan kanak-kanak,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS, Prof. Dr. Haji Mohd Dahlan A. Malek sempena Simposium Kebangsaan Kanak-kanak dan Keluarga 2018 di Bilik Seminar FPP.

Menurut beliau, antara cabaran yang dihadapi dalam keluarga pada era digital adalah kurangnya masa berkualiti dapat diluangkan sesama ahli dalam sistem keluarga.

“Kalau dulu, kita dapat duduk bersama-sama keluarga pada waktu makan dengan menikmati hidangan makan malam sambil bercerita dan berkongsi pengalaman sepanjang seharian beraktiviti dengan penuh kegembiraan dan keterujaan.

“Tetapi kini, masing-masing lebih memilih untuk bercerita dengan telefon pintar sahaja walaupun duduk makan bersama dan ini sekali gus mengurangkan interaksi sesama ahli keluarga, malah masa yang diluangkan untuk beraktiviti bersama juga mulai kurang dan ini secara tidak langsung akan mempengaruhi hubungan antara ibu bapa dan anak-anak,” katanya.  

Beliau turut menekankan tentang indeks kebahagiaan sistem keluarga di Malaysia yang sebenar dan menjadi tanda tanya.

“Sebagai contoh jika individu tersebut telah berkeluarga dan mempunyai anak, kebiasaannya mereka cenderung untuk memaparkan status yang menggambarkan keluarga mereka bahagia sahaja melalui gambar-gambar dan keterangan tertentu di laman sosial seperti Whatsapp, Facebook, Instagram atau Twitter.

“Persoalannya, sejauh mana keluarga tersebut bahagia dan benar-benar menikmati bahagia, kerana ingin dilihat bahagia dan benar-benar menikmati bahagia adalah dua situasi yang berbeza,” ujar beliau.

Bertemakan “Cabaran Keluarga Dalam Era Digital” simposium selama dua hari itu mengumpulkan seramai hampir 200 peserta dengan 60 kertas kerja untuk dibentangkan.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.