UMS Tuan Rumah Penganjuran Kolokium STEM 2018

KHAMIS, 3 MEI - Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah mengadakan Kolokium Pendidikan STEM Zon Sabah 2018 di Dewan Kuliah Pusat ke-2, UMS baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, program itu bertujuan untuk meningkatkan minat dan kesedaran pelajar-pelajar sekolah di negeri Sabah tentang kepentingan sains, teknologi dan inovasi dalam pembangunan negara.

“Kita perlu menarik dan memupuk minat para pelajar sama ada yang berada di bandar mahu pun luar bandar terhadap mata pelajaran berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau ringkasnya STEM ini kerana  Revolusi Industri 4.0 sekarang ini memerlukan kita menyerap elemen STEM dengan lebih giat lagi dalam setiap proses pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Amin Senin berkata, pendidikan STEM memainkan peranan utama dalam membangunkan murid Malaysia sebagai generasi masa depan dengan pemikiran inovatif dalam ekonomi global yang penuh persaingan.

“Pendidikan STEM juga menyediakan landasan anjal kepada Malaysia untuk menyediakan bekalan tenaga kerja yang berkemahiran dan berbakat ke arah pembangunan ekonomi yang lestari demi memenuhi permintaan dalam bidang-bidang berkenaan,” katanya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak UMS, KPM dan JPN Sabah di atas penganjuran kolokium STEM 2018 Zon Sabah yang berjaya menarik 1,400 penyertaan daripada kalangan pentadbir sekolah, guru bidang STEM, guru kaunseling dan kerjaya serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru. 

Hadir sama pada program itu,  Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Prof. Dr. Mohd. Dahlan Hj. A. Malek; Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM, Dr. Habibah Abdul Rahim; dan Pengarah Pendidikan JPN Sabah, Datuk Hajah Maimunah Suhaibul.

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.