20 Peserta Sertai Bengkel Pengkulturan Tisu Tumbuhan

ISNIN, 7 MEI - Seramai 20 peserta menyertai Bengkel Pengkulturan Tisu Tumbuhan anjuran Unit Kajian Orkid (UKO), Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Ketua Unit Orkid, Dr. Nor Azizun Rosdi berkata, peserta bengkel selama tiga hari itu terdiri daripada kakitangan Taman-Taman Sabah, Syarikat KB Agrotech Kota Belud dan Pejabat Hasil Bumi Sabah (NRO).

“Penganjurannya antara lain bertujuan memperkenalkan pengetahuan am tentang kultur tisu bagi tumbuhan, menjelaskan teknik steril dan penyediaan media kultur tisu serta  menyediakan latihan bagi penyediaan media asas.

“Selain itu bengkel ini juga menyediakan latihan bengkel bagi kultur tisu mengikut jenis tanaman yang berbeza, di samping menjadi latihan sebagai input awal bagi peserta melaksanakan projek pertanian moden kultur tisu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Nor Azizun, bengkel itu telah dikendalikan pensyarah berpengalaman dalam bidang tersebut di UMS yang juga merangkap Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Prof. Madya Dr. Jualang Azlan Gansau dan Pengarah Pusat Instrumentasi dan Perkhidmatan Sains, Prof. Madya Dr. Zaleha Abd. Aziz.

“Mereka menerangkan berkaitan dengan konsep, teori dan aplikasi kultur tisu selain demonstrasi dan sesi latihan komprehensif di Makmal Agrobioteknologi Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) UMS,” jelasnya.

Beliau menambah, kursus terbabit turut merangkumi topik berkaitan penyediaan stok media, penyediaan hormon, teknik aseptik (steril) dan penyediaan eksplan padi dan orkid.

“Peserta juga turut diajar kaedah untuk mengkulturkan biji orkid dan padi dalam media yang berlainan,” ujarnya lagi.

Kemuncak acara menyaksikan para peserta dianugerah sijil penyertaan yang disampaikan Pemangku Pengarah IBTP, Prof. Madya Dr. Monica Suleiman.

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.