Tun Juhar Rasmi Bangunan PIUMS, Berbuka Puasa Bersama 1,000 Warga UMS

SELASA, 5 JUN - Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin merasmikan Bangunan Pentadbiran Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) pada satu Majlis Berbuka Puasa yang berlangsung di UMS kelmarin.

Bangunan yang dibina dengan kos RM5 juta itu berkeluasan 6,280 meter persegi dilengkapi dengan ruang pejabat, bilik kuliah, bilik perpustakaan mini, bilik seminar utama, kedai mini, bilik galeri, bilik mesyuarat eksekutif dan bilik perbincangan.

Dalam persembahan video montaj, Pengarah PIUMS Profesor Madya Dr. Muhamad Suhaimi Taat berkata, bangunan tersebut direka dengan mengambil kira konsep asal arkitek yang telah membina Bangunan Masjid UMS.

“Konsep bangunan baru Pusat Islam adalah bercirikan konsep moden dan dihiasi dengan corak geometri islamik. Pemilihan warna juga agak unik dan sedikit berbeza dengan warna bangunan Masjid UMS yang dikenali sebagai ‘Pink Mosque’ atau Masjid Merah Jambu.

“Kombinasi warna kelabu dan putih menyerlahkan warna bangunan yang dinamik dan unik serta menyerlahkan ciri-ciri warna korporat,” katanya.

Beliau menjelaskan bangunan tersebut mula dibina pada 24 Oktober 2016 melalui Rancangan Malaysia ke-11 selepas  mendapat kelulusan peruntukan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi.

Sementara itu, kira-kira 1,000 warga UMS hadir untuk sama-sama mengimarahkan majlis berbuka puasa yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Panglima Shuryani Shuaib.

Majlis itu menyaksikan seramai 11 pelajar asnaf UMS turut menerima sumbangan daripada Pusat Zakat Sabah (PZS) yang disampaikan oleh Tun Juhar dan isteri, Toh Puan Hajah Norlida Tan Sri R.M Jasni.

Hadir sama pada majlis tersebut, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dan isteri, Datin Roha Asmara serta Pegawai-pegawai Utama dan Kanan Universiti.

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.