KKUMS Lantik FEC Jadi Ejen Ambil Pelatih JPK

RABU, 6 JUN - First Education Center (FEC) dilantik sebagai syarikat pertama sebagai ejen pengambilan pelatih Kolej Kemahiran UMS (KKUMS).

Pelantikan itu dibuat melalui satu Majlis Menandatangani Perjanjian bersama yang berlangsung baru-baru ini antara FEC dan anak syarikat milik penuh Universiti Malaysia Sabah,  UMS Investment Holdings Sdn. Bhd. (UiNVEST) selaku  pengendali tadbir urus KKUMS.

Terdahulu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UiNVEST, Ramlan Awang Ali dalam ucapannya berkata, usahasama di antara KKUMS dan FEC dapat membantu melonjakkan jumlah pelatih yang melanjutkan pengajian di KKUMS dari semasa ke semasa.

“KKUMS yang terletak di Alamesra Plaza Utama, Kota Kinabalu komited dalam menyediakan peluang pendidikan dan latihan masyarakat di negeri Sabah dengan menawarkan program kemahiran untuk para belia berumur 16-45 tahun.

“Ini adalah selaras dengan objektif penubuhan KKUMS iaitu untuk memberi pendidikan dan membantu peluang mencari pekerjaan kepada masyarakat setempat melalui peningkatan tahap kemahiran walaupun sekadar memiliki kelulusan darjah 6 atau Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan setaraf kepada pemegang Sijil Kemahiran Malaysia sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi di negeri ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, Ramlan mengingatkan bahawa program yang ditawarkan akan memerlukan usaha gigih para pelatih untuk mencapai tahap kompeten sebelum dianugerahkan sijil kemahiran.

“Saya memberi jaminan bakal pelatih tidak perlu risau kerana KKUMS mempunyai tenaga pengajar yang bertauliah dan berkelayakan.

“Mereka telah diiktiraf serta terlatih dalam memantau pencapaian kemahiran serta kesejahteraan emosi para pelatih,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan FEC, Razif Matar berkata, sasaran pengambilan untuk program kemahiran KKUMS adalah mereka yang menamatkan pendidikan menengah dengan memperolehi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi tidak menerima tawaran untuk kemasukan ke universiti tempatan kerana kurang memenuhi syarat kelayakan.

“Rebutlah peluang ini kerana KKUMS adalah platform terbaik untuk golongan muda yang kurang cemerlang dalam pencapaian akademik meningkatkan taraf pendidikan dan kemahiran mereka,” ujarnya.

Untuk rekod, FEC sebagai permulaan telah berjaya membawa masuk 33 pelatih untuk menghadiri kursus Pentadbiran Pejabat – Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 selama enam bulan, dan Kursus Penyeliaan Pengurusan Pejabat Tahap 3 selama 12 bulan dengan pembiayaan penuh pengajian daripada dana kerajaan melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri Sabah (UPEN).

Justeru, mereka yang berminat untuk mendaftar program kemahiran boleh menghubungi  FEC di talian 010-363 2182 atau datang terus ke pejabat KKUMS di Lot 64, Block K, Alamesra Plaza Utama, Jalan UMS, Kota Kinabalu.

Informasi lanjut berkaitan peluang pendidikan di KKUMS juga boleh diakses dengan menekan butang ‘Like’ pada laman facebook rasmi UCPD.

KKUMS merupakan sebuah pusat latihan kemahiran yang telah mendapat pentauliahan dari Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia dengan No Kod Pusat L02216.

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.