UMS Berkembang Dari Universiti Kepada Destinasi Tarikan Pelancong

SELASA, 21 OGOS – Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah berkembang daripada sebuah pusat pengajian tinggi yang mempunyai landskap yang indah kepada satu destinasi yang berjaya menarik ramai pelancong asing dari serata dunia untuk menikmati keunikan alam semula jadi yang terdapat di dalam kampus.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, UMS telah menarik jumlah pelancong yang ramai beberapa tahun ini, dengan kawasan seperti Masjid UMS, Akuarium dan Muzium UMS, serta panorama pantai ODEC antara yang menjadi tumpuan para pelancong.

“Justeru, UMS telah melantik anak syarikatnya, UMS Investment Holdings Sdn Bhd (UiNVEST) untuk mengurus operasi dan pentadbiran Pusat Informasi Pelawat EcoCampus UMS (EVIC) dengan hasrat untuk bekerjasama dengan agensi-agensi pelancongan bagi menggiatkan lagi promosi UMS sebagai destinasi wajib dilawati pelancong di Kota Kinabalu.

“Diharapkan kerjasama pintar ini juga mampu memacu industri pelancongan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena pelancaran pembukaan EVIC dan Pakej Pelancongan EcoCampus di perkarangan bangunan EVIC, kelmarin.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan, Prof. Madya Dr. Murnizam Halik.

Terdahulu, Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Suzaini Datuk Sabdin Ghani berkata, UMS mempunyai potensi besar untuk menjana pendapatan dan menjadi lokasi ‘hot spot’ para pelancong asing.

“Untuk itu, STB komited membantu pihak universiti dalam aktiviti berkaitan promosi, dan daya tarikan seperti pantai, pusat marin dan tapak perkhemahan yang dilihat mampu menarik lebih ramai pelancong dari China dan Korea untuk melawat kawasan UMS.

“Penyediaan perkhidmatan basikal elektronik oleh EVIC juga merupakan satu langkah bijak yang membolehkan pelancong yang hadir untuk menikmati pengalaman dan suasana universiti sepanjang hari,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengerusi Kumpulan UiNVEST, Datuk Ag Buhtamam Ag Mahmun dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UiNVEST, Ramlan Awang Ali.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.