Hayati 5 Nilai Tunjang Transformasi ke Arah Universiti Industri 4.0: Naib Canselor UMS

KHAMIS, 6 SEPTEMBER - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin menyeru warga UMS khususnya siswa-siswi baharu sesi 2018/2019 agar menghayati dan mengamalkan lima nilai ditetapkan universiti yang menjadi tunjang Transformasi ke Arah Universiti Industri 4.0.

Katanya, lima nilai tersebut, iaitu Dinamik, Kelestarian, Integriti, Keadilan dan Darjah Kegembiraan perlu diamalkan dalam proses pengajaran, pembelajaran dan pengurusan.

“Teknologi digital atau teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) akan menyebabkan banyak perkara, aktiviti mahupun sesuatu proses dilakukan secara pintar (Smart Way) pada masa kini.

“Kesemua nilai ini perlu disuburkan dalam diri saudara dan saudari dan seluruh warga UMS dan dijadikan kayu ukur untuk anda muhasabah diri dan mencari jalan untuk memperbaiki diri supaya menjadi insan yang lebih baik pada hari ini, hari esok dan hari-hari mendatang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 4,229 pelajar baharu pada Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Siswa-siswi Baharu Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2018/2019 di Dewan Canselor UMS.

Prof. Datuk Dr. D Kamarudin turut berpesan agar semua pelajar baharu sentiasa gembira semasa melanjutkan pengajian di UMS dan memberikan sepenuh tumpuan kepada pembelajaran di UMS.

“Pengurusan universiti serius untuk memastikan perkara berkaitan darjah kegembiraan berjaya dilaksanakan kerana ini adalah sebahagian daripada atribut ‘Future Proof Graduate’ selaras dengan Pelan Strategik UMS 2018-2020 iaitu KRA 8 – Mempertingkatkan Pengalaman Holistik Pelajar.

“Siswa-siswi haruslah menitikberatkan hal-hal melibatkan kehadiran ke kuliah, tutorial dan sentiasa mengunjungi pustaka ilmu yang ada sebagai budaya kecemerlangan yang seharusnya menjadi ikutan, selain menyingkirkan daripada amalan-amalan negatif seperti malas, suka bertangguh, ponteng kelas dan sebagainya sebelum tabiat buruk ini melarat dan memudaratkan pengajian kelak,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Yusof Yacob yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, ahli-ahli lembaga pengarah UMS, serta pegawai-pegawai utama dan kanan UMS.

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.