Pelajar Universiti Perlu Beri Sumbangan Kepada Masyarakat

KHAMIS, 6 SEPTEMBER - Siswa-siswi khususnya pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS) dituntut agar menggunakan segala ilmu yang diperoleh di menara gading untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, siswa-siswi adalah bakal pemimpin pada masa hadapan, dan untuk itu mereka harus sentiasa terampil bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga dalam kegiatan universiti dan aktiviti kemasyarakatan.

“Kita tidak mahu melahirkan mahasiswa yang jumud, dan tiada gunanya jika kita berilmu dan berpendidikan tinggi tetapi tidak menyumbang kepada masyarakat, tidak inovatif malah tidak berbudi bahasa.

“Saya menyarankan sebegini kerana tanggungjawab saudara-saudari sekalian sebenarnya bukan hanya kepada diri sendiri dan keluarga, tetapi juga kepada UMS khasnya dan negara amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Yusof Yacob pada Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Siswa-siswi Baharu Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2018/2019 di Dewan Canselor UMS, pagi tadi.

Beliau menambah, kerajaan Negeri Sabah akan terus komited dan sentiasa memberikan kerjasama dalam membantu segala usaha ke arah kemajuan dan peningkatan tahap pendidikan tinggi negara.

“Sebagaimana yang kita lihat pada hari ini, sejak kewujudan UMS di Sabah, pembangunan dan kemajuan negeri ini bergerak seiring demi menampung keperluan-keperluan ekonomi dan sosial pelajar.

“Implikasi positifnya juga telah memberi nilai tambah dan peningkatan taraf hidup dan ekonomi masyarakat sekitarnya, dan UMS kini telah menjana transformasi pembangunan yang sangat pesat dalam tempoh yang sangat pantas di negeri Sabah,” ujar beliau.

Pada majlis itu, Datuk Dr. Yusof turut menyaksikan bacaan ikrar siswa-siswi baharu yang diketuai pelajar Program Kejuruteraan Rangkaian, Fakulti Komputeran dan Informatik UMS, Mohd Ozaniezie Onasis.

Hadir sama pada majlis tersebut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, ahli-ahli lembaga pengarah UMS, serta pegawai-pegawai utama dan kanan UMS.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.