UMS Teroka Potensi Pelancongan Di Kg. Tambisan, Lahad Datu

RABU, 12 SEPTEMBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) telah memeterai satu kerjasama dengan Tambisan Travel and Tours Sdn. Bhd. bagi meneroka potensi pelancongan di kawasan Kampung Tambisan, Lahad Datu.

Kerjasama antara kedua-dua pihak tersebut dimeterai dalam satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Galeri Majlis, UMS baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin menandatangani dokumen MoU tersebut, manakala Tambisan Travel and Tours diwakili Pengarah Urusannya, Tuan Haji Antin Ismail.

Melalui pemeteraian MoU itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama bagi membangunkan industri pelancongan berasaskan komuniti di kawasan Kg. Tambisan, Lahad Datu, yang dilihat bakal memberi manfaat serta impak kepada kedua-dua belah pihak, khususnya peningkatan taraf sosioekonomi penduduk kampung serta mewujudkan kesedaran akan kepentingan konservasi alam sekitar.

Terdahulu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assafal P. Alian ketika berucap sempena majlis tersebut berkata, kerjasama pintar itu amat penting dan memerlukan penglibatan pelbagai pihak termasuk masyarakat setempat.

“Seperti yang kita sedia maklum, universiti merupakan agen pengubah masyarakat dengan aktiviti-aktiviti penyelidikan dapat dilakukan secara berterusan bagi mengenal pasti isu dan peluang di Kg. Tambisan itu sendiri.

“Trend semasa menunjukkan bahawa usaha pemuliharaan alam sekitar kini dilihat boleh menjadi tarikan pelancongan baru, dengan penglibatan pelancong dalam usaha atau aktiviti berkaitan konservasi dapat mempertingkatkan pengetahuan dan pengalaman pelancong,” katanya.

Beliau menambah, penduduk Kg. Tambisan yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan dapat meningkatkan taraf hidup mereka dengan menaikkan nilai pada aktiviti harian yang mereka lakukan iaitu melalui penglibatan dalam aktiviti pelancongan.

“Aktiviti perikanan boleh dikembangkan dengan aktiviti-aktiviti lain seperti aktiviti selam skuba (diving), aktiviti snokerlling dan lain-lain lagi,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Pendaftar UMS, No’man Hj Ahmad dan Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.

 

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.