179 Sertai Borneo Geographic Expedition  di Imbak Canyon

JUMAAT, 28 SEPTEMBER – Seramai 179 peserta dari pelbagai universiti di Malaysia serta agensi kerajaan dan swasta menyertai Ekspedisi “Borneo Geographic Expedition 2018: Kangkawat Research Station” di Imbak Canyon Conservation Area (ICCA) yang bermula hari ini.

Ekspedisi yang buat julung kalinya dianjurkan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kumpulan Yayasan Sabah melibatkan peserta dari Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sains Malaysia (USM), University College Sabah Foundation (UCSF), Kumpulan Yayasan Sabah, Pusat Penyelidikan Perhutanan (FRC), Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI), Sabah Parks dan Malaysian Nature Society.

Pemangku Pengarah IBTP, Prof. Madya Dr. Monica Suleiman ketika menyampaikan pelaporan ringkas mengenai ekspedisi tersebut berkata, ekspedisi itu akan berjalan selama 12 hari, dengan kumpulan pertama seramai 90 peserta akan menyertai ekspedisi sehingga 4 Oktober, manakala kumpulan kedua akan bermula pada 4 Oktober hingga 9 Oktober.

“Antara bidang kajian yang akan dijalankan oleh penyelidik sepanjang ekspedisi tersebut adalah merangkumi bidang entomologi, tumbuhan, mamalia kecil, geologi, burung, ikan, kualiti air, pelancongan alam semula jadi dan sains sosial.

“Sebanyak 12 buah kenderaan pacuan empat roda dari Kelab Pacuan Empat Roda UMS (UMS4WDVC) dan sebuah bas UMS digunakan untuk menghantar peserta ke Stesen Penyelidikan Kangkawat, ICCA dengan perjalanan akan mengambil masa dalam lingkungan 8 jam sejauh kira-kira 288 kilometer dari UMS ke Pekan Telupid dan akan diteruskan hingga ke Stesen Penyelidikan Kangkawat,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Yusof Yacob dalam ucapan perasmian sempena program tersebut berkata, penganjuran program berkenaan memberi makna yang besar kerana negeri Sabah yang terletak di kawasan Hutan Hujan Tropika kaya dengan kepelbagaian biologi, sumber alam dan kebudayaan yang masih belum diterokai.

“Sumber kepelbagaian biologi ini kemungkinan boleh digunakan sebagai bahan ubat-ubatan, sumber makanan baru, atau bahan yang boleh digunakan secara komersial, dengan mengambil contoh ubat Penisilin ditemui dari sejenis kulat, dan getah serta minyak sawit berasal dari tumbuh-tumbuhan hutan yang hanya digunakan oleh masyarakat tertentu sebelum dikomersialkan di peringkat antarabangsa.

“Dianggarkan 1/5 daripada kepelbagaian biologi Borneo boleh ditemui di Sabah, dengan melalui kajian yang pernah dijalankan menyatakan kepelbagaian biologi daratan di Sabah telah menunjukkan terdapatnya 3,000 spesies pokok kayu, 1,500 spesies orkid, 650 spesies pakis, 100,000 spesies invertebrata, 221 spesies mamalia, 586 spesies burung, 197 spesies reptilia, 98 spesies amfibia dan 155 spesies ikan air tawar,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Datuk Dr. Yusof kemudiannya menyempurnakan acara pelepasan Konvoi Ekpedisi Borneo Geographic Expedition 2018 di Dataran Dewan Canselor.

Hadir sama pada majlis tersebut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; Pengarah Yayasan Sabah, Tuan Haji Jamalul Kiram Datuk Haji Mohd Zakaria; Timbalan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Hajah Rosmawati Lasuki; dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS; Prof. Dr. Shahril Yusof.

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.