Ilmu dan Budaya Ilmu Penting untuk Pembangunan Diri, Negara dan Tamadun: NC

SELASA, 02 OKTOBER – Ilmu dan budaya ilmu sangat penting dalam proses pembangunan diri, organisasi, negara dan tamadun kata Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Justeru katanya, pendidikan dan penghayatan ilmu perlu sentiasa dimantapkan sepanjang hayat.

“Di Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST), para pelajar berkesempatan untuk menimba ilmu dan bersama-sama menghayati resam komuniti ilmuwan yang pastinya merangsang kreativiti, menjana inovasi.

“Oleh yang demikian, apa jua bidang yang bakal diceburi kelak para pelajar hendaklah menunjukkan nilai-nilai kecemerlangan dari segi personaliti dan kemampuan berinteraksi dengan masyarakat,” katanya.

Prof. Datuk Dr. D Kamarudin berkata demikian dalam teks ucapan perasmian Majlis Penyampaian Sijil Asasi Sains Kali ke-8 yang dibacakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail, baru-baru ini.

Menurut Prof. Datuk Dr. D Kamarudin, adalah menjadi harapan beliau agar ilmu dan pengalaman yang digarap semasa para pelajar berada di PPST dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.

“Kejayaan yang diperolehi bukan sahaja untuk merebut peluang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda, tetapi juga dapat dimanfaatkan kepada masyarakat sekeliling untuk kelestarian kehidupan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah PPST, Prof. Madya Dr. Sazmal Effendi Arshad berkata, sains, teknologi dan inovasi perlu relevan dengan keperluan dan aspirasi setiap negara seiring dengan cabaran Evolusi Perindustrian 4.0.

“Oleh itu, sains perlu diburu dengan menetapkan matlamat, memandangkan ia adalah alat paling penting untuk memacu ekonomi setiap negara termasuk Malaysia.

“Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada para pelajar sekalian atas kejayaan menamatkan Sijil Asasi Sains, teruskan usaha gigih anda agar cita-cita dapat dicapai sekali gus memenuhi harapan ibu bapa dan merealisasikan matlamat universiti dan negara,” tambahnya.

Pada majlis itu, Prof. Dr. Rasid Mail turut menyampaikan empat anugerah khas kepada pelajar PPST.

Mathias Tseu Wen Leh dinobatkan sebagai penerima Anugerah Naib  Canselor, manakala Anugerah Pengarah menjadi milik Nur Fadzilah Mohd Razalie.

Anugerah Pelajar Harapan serta Anugerah Pelajar Berdedikasi dan Berkepimpinan pula masing-masing diraih oleh Brigette Sinundu Sundry dan Aslia Jamaluddin.

Kesemua mereka menerima sijil penghargaan dan trofi.

Majlis yang berlangsung di Dewan Resital UMS itu menyaksikan seramai 254 pelajar PPST UMS menerima Sijil Asasi Sains.

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.