UMS Terus Giat Penyelidikan Bagi Bantu Komuniti dan Industri

JUMAAT, 26 OKTOBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan terus mempergiatkan aktiviti penyelidikan khususnya penyelidikan yang bertujuan untuk menyelesaikan permasalahan dalam komuniti dan industri, serta penyelidikan yang mampu membantu memacu perkembangan ekonomi dan pembangunan negara secara amnya.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof berkata, walaupun terdapat sedikit kekangan kewangan terhadap peruntukan universiti, namun peruntukan bagi aktiviti-aktiviti berkaitan penyelidikan akan terus disalurkan bagi menggalakkan para penyelidik untuk melakukan lebih banyak penyelidikan.

“Perkembangan bagi aktiviti penyelidikan pada tahun ini amat memberangsangkan, dengan 30 geran penyelidikan adalah memfokuskan kepada penyelesaian masalah komuniti serta industri.

“Justeru, diharapkan pihak fakulti turut mempergiatkan kerjasama dengan industri khususnya bagi mendapatkan geran penyelidikan dari luar agar lebih banyak aktiviti penyelidikan dapat dilakukan tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan oleh universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Penyelidik UMS (APUMS) 2017 dan Perasmian Penutupan Pertandingan Penyelidikan dan Rekacipta (PEREKA) 2018 di Kompleks Dewan Kuliah Pusat ke-2 UMS, kelmarin.

Tambah beliau, penganjuran APUMS 2017 dan PEREKA 2018 juga terus dilaksanakan bagi menghargai usaha para penyelidik dan pensyarah terhadap kajian dan penyelidikan yang telah mereka jalankan, serta sebagai platform untuk menggalakkan mereka meneruskan penyelidikan-penyelidikan yang memberi impak kepada sosioekonomi masyarakat dan negara.

Beliau turut mencadangkan agar fakulti menjalankan usaha untuk menjana pendapatan bagi tujuan penyaluran geran dari fakulti sendiri kepada pensyarah, dengan fakulti yang berjaya menyalurkan jumlah geran tertinggi akan diberikan hadiah sebagai penghargaan.

“Ini adalah sebagai usaha untuk membantu penyelidik muda khususnya untuk mendapatkan peruntukan bagi penyelidikan yang mereka usahakan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, APUMS 2017 menyaksikan Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) menerima penghargaan bagi skor My Research Assessment (MyRA) tertinggi bagi kategori Institut, manakala kategori Fakulti diberikan kepada Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA).

Penghargaan turut diberikan kepada lima ahli akademik terbaik yang memperoleh sitasi dalam jurnal indeks Scopus, yang menyaksikan mereka memperoleh sijil penghargaan dan baucer persidangan luar negara berjumlah RM10,000.

Mereka adalah Dr. Clarence Ongkudon dari Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB), Prof. Dr. Charles Shatanaraju A/L Variappan dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Prof. D. Rosalam Sarbatly dari Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Prof. Madya Dr. Md. Shafiquzzaman Siddiquee dari IPB, dan Prof. Madya Dr. Suzan Benedict dari Fakulti Pertanian Lestari (FPL).

Selain itu, penghargaan juga diberikan kepada lima ahli akademik terbaik yang menjadi penulis prolifik jurnal berindeks ISI dan Scopus, dengan sijil penghargaan dan baucer persidangan luar negara berjumlah RM10,000 turut diperoleh mereka.

Lima ahli akademik tersebut ialah Dr. Lim Leong Seng dari IPMB, Dr Clarence Ongkudon dari IPB, Dr. Liew Thor Seng dari IBTP, Prof. Madya Dr. Md. Shafiquzzaman Siddiquee dari IPB, dan Prof. Dr. Md. Lutfor Rahman dari FSSA.

APUMS 2017 turut memberikan Anugerah Penyelidik Cemerlang dari pelbagai kategori, dengan Dr. Chee Fuie Pien dari FSSA memperoleh anugerah tersebut bagi kategori Penyelidik Muda (Sains), sekali gus membawa pulang sijil anugerah dan geran penyelidikan UMS bernilai RM 20,000.

Turut menerima anugerah adalah Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng dari Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) dan Prof. Madya Dr. D. Maryama Ag Daud dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) bagi kategori Penyelidik (Sains Sosial), serta Prof. Madya Dr. Vijay Kumar A/L Subbiah dari IPB dan Prof. Madya Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri dari FKJ bagi kategori Penyelidik (Sains).

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah sijil anugerah serta geran penyelidikan UMS bernilai RM30,000.

Pada pertandingan PEREKA pula, sebanyak 168 penyertaan telah diterima merangkumi 9 klasifikasi penyelidikan dan inovasi yang menampilkan 12 penyelidik telah memenangi Anugerah Emas Kategori Penyelidik.

Mereka adalah Khalifa Chekima, Jackson Chang Hian Wui, Dr. Liew Thor Seng, Prof. Dr. Kamaruddin Ahmed, Dr. Md. Jahurul Haque Akanda, Prof. Madya Dr. Jason Teo Tze Wi, Dr, Sujjat Al Azad, Dr. Chee Fuei Pien, Dr. Razak Mohd Ali Lee, Dr. Ching Fui Fui @ Faihana Ching Abdullah, Dr. Joko Sulistyo, dan Prof. Madya Dr. How Siew Eng.

Bagi Kategori Inovasi, tujuh peserta memperoleh Anugerah Emas, iaitu Dr. Jidon @ Adrian Janaun, Prof. Madya Dr. Ng Giap Weng dengan dua anugerah, Prof. Madya Dr. Md. Shafiquzzaman Siddiquee dengan dua anugerah, Prof. Dr. Zainal Arifin Mustapha, Prof. Madya Dr. Rayner Alfred, Nur Athirah Yusof, dan Prof. Madya Dr. Chong Khim Phin.

Kesemua hadiah dan anugerah disampaikan Prof. Dr Shahril dan Bendahari UMS, Zallifah Shadan.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rasid Mail; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali; dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Normah Awang Besar @ Raffie.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.