Semua Pihak Perlu Martabatkan Pengunaan Bahasa Melayu

SELASA, 30 OKTOBER - Semua pihak khususnya generasi muda diminta untuk bersama-sama  memainkan peranan dalam usaha memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu dengan betul.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia Datin Paduka Ir Dr Hamisah Tapsir berkata, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan perlu dituturkan dengan tepat bagi memastikan keaslian bahasa itu terus terpelihara dan diwarisi turun temurun.

“Pada masa kini banyak kali kita mendengar Bahasa Melayu dituturkan bercampur aduk dengan  Bahasa Inggeris.

“Malah ada yang mengatakan setiap Bahasa Inggeris boleh ‘dimelayukan’ apabila menambah huruf ‘I’ di belakang sesebuah perkataan. Sebenarnya bahasa Melayu tidak semudah itu,” katanya.

Datin Paduka Ir Dr Hamisah berucap demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Bulan Bahasa Kebangsaan dan Bulan Keusahawanan Siswa 2018 Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, kelmarin.

Beliau turut menyarankan agar siswa-siswi membaca Hikayat Malim Deman untuk melihat tulisan-tulisan dan pengunaan bahasa dalam buku kesusasteraan Melayu itu.

“Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan memartabatkan Bahasa Melayu?,” tegasnya lagi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali; Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad, pegawai-pegawai kanan universiti dan barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Terdahulu, Datuk Dr. D Kamarudin dalam ucapan aluannya berkata, kesedaran mengenai pentingnya menerapkan semangat cintakan Bahasa Kebangsaan perlu dipupuk dalam kalangan semua peringkat usia dan dalam kalangan semua kaum.

Katanya, walaupun Bahasa Inggeris merupakan bahasa global, Bahasa Melayu tidak wajar dipinggirkan kerana Bahasa Kebangsaan sesebuah negara menggambarkan identiti negara yang harus didaulatkan dan diperkasakan.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini. Semoga kita menanamkan semangat patriotik dan Sayangi Malaysiaku walau di mana sahaja kita berada,” katanya.

Pada Majlis itu, Datin Paduka Ir Dr Hamisah turut menyempurnakan perasmian “Speaker Corner” di Anjung Siswa UMS.

Beliau turut menyampaikan watikah pelantikan kepada barisan MPP UMS bagi sesi 2018/2019 serta menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil kepada para pemenang pertandingan yang diadakan sepanjang Bulan Bahasa Kebangsaan dan Bulan Keusahawanan Siswa 2018.   

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.