UMS Lawat Guangzhou Jalinkan Hubungan Alumni UMS Malaysia – China

JUMAAT, 02 NOVEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan “Program Networking Merentas Sempadan Alumni UMS” di Guangzhou, China bagi membina jambatan penghubung antara alumni UMS Malaysia dan alumni UMS China baru-baru ini.

Mengetuai rombongan tersebut,  Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS) Prof. Dr. Ismail Ali berkata, lawatan itu bagi memudahkan sebarang urusan sekiranya ingin melebarkan perniagaan ke negara itu atau mendapatkan sumber bekalan niaga yang boleh dipasarkan di tanah air.

“Antara aktiviti yang diadakan sepanjang berada di sini adalah lawatan ke kilang-kilang yang dimiliki sendiri oleh alumni UMS China serta produk-produk yang berpotensi untuk dikembangkan ke Sabah.

“Selain itu, kami  juga telah memberi ruang kepada alumni tempatan untuk jalinan perniagaan pintar bersama peniaga-peniaga yang ada di sini melalui bantuan alumni China,” katanya dalam satu kenyataan.

Prof. Dr. Ismail Ali berkata, lawatan yang diinisiatifkan Pusat Alumni UMS itu nyata berjaya memberi pendedahan dan membuka mata alumni tempatan yang turut tidak melepaskan peluang untuk berkenalan dan saling bertukar nombor telefon sebagai proses permulaan untuk jalinan kerjasama yang lebih besar pada masa akan datang.

“Saya melihat program ini memberi banyak manfaat khususnya dalam memperkasa alumni UMS Malaysia yang dilihat kelak boleh membawa kepada generasi yang berdaya saing sekali gus mampu menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara,” katanya.

Pada lawatan itu, Prof. Dr. Ismail Ali turut melancarkan pejabat urusan Alumni China (SOHO) di Selatan China bagi membantu alumni UMS dalam urusan eksport dan import selain membantu alumni UMS di Malaysia mendapatkan khidmat nasihat pelaburan, bekalan dan perkhidmatan dari negara berkenaan.

Seorang alumni UMS tempatan yang turut serta, Rudy Ansar turut menyuarakan rasa berterima kasih kepada pihak universiti atas peluang yang diberikan untuk bersama-sama pada lawatan kali ini.

“Saya amat bertuah dapat mengikut program ini yang mana saya telah berpeluang untuk berkenalan dan membuka lembaran kerjasama dengan alumni UMS dari China.

“Di sini saya mendapat ilmu pengetahuan tentang cara-cara membeli dan menghantar barangan ke Malaysia, melihat sendiri kilang-kilang di China dengan lebih dekat, mempelajari selok-belok cara perniagaan orang China dan membuka mata tentang perniagaan yang boleh diusahakan di Malaysia,” katanya.

Rudy yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dan kini merupakan pelajar tahun akhir dalam bidang Ijazah Doktor Falsafah Kewangan dan Perbankan turut menyifatkan lawatan itu sebagai satu lawatan yang membuka mindanya untuk mempelbagaikan lagi perniagaan selain sebagai pembekal sayuran dan menyediakan perkhidmatan pembersihan di sekitar Kota Kinabalu.

“Di sini banyak ilmu perniagaan yang kita boleh dapat, malah ada yang tidak pernah terlintas dalam fikiran. Ia baik sekali untuk para alumni yang ingin atau sudah berkecimpung dalam dunia perniagaan,” tambahnya lagi.

Lawatan selama lima hari itu turut disertai Pengarah Pusat Alumni UMS, Darwis Awang dan Penolong Pendaftar Kanan Pusat Alumni UMS, Victor Gondipon. Sepanjang lawatan, segala urusan dikendalikan oleh alumni UMS China, Micheal He Loong yang juga merupakan seorang ahli perniagaan di Sabah, Hong Kong dan China.

Orang ramai khususnya para alumni UMS yang ingin mengadakan hubungan kerjasama dengan alumni UMS China juga dialu-alukan dengan menghubungi Pusat Alumni UMS di talian 017-6809371.

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.