Media Arus Perdana Kekal Relevan

KHAMIS, 06 DISEMBER – Di sebalik perkembangan dan saingan daripada media elektronik termasuk portal akhbar atas talian pada era digital masa kini, namun media cetak juga masih kekal relevan kepada masyarakat.

Demikian menurut Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Abdul Kadir Jasin ketika menyampaikan ucaptama bersempena program Dialog Isu dan Cabaran Komunikasi Strategik Dalam Era Malaysia Baharu yang berlangsung di Dewan Resital, UMS baru-baru ini.

Menurut beliau, media arus perdana harus melakukan perubahan besar untuk terus kekal relevan, kerana kepercayaan masyarakat terhadap media arus perdana juga semakin terhakis akibat laporan berkaitan politik yang berat sebelah semasa zaman pemerintahan kerajaan lama.

“Sejak sekian lama media arus perdana ini sudah tidak mencatat rekod jualan yang baik, dan kemungkinan ramai pembaca sudah meninggalkan mereka sendiri kerana tidak suka akan berita-berita yang mereka laporkan yang dirasakan hanya menyebelahi kerajaan.

“Justeru, pada era Malaysia baharu ini, mereka seharusnya melakukan perubahan terhadap dasar-dasar mereka yang terdahulu, dan kita harus memberi mereka ruang dan peluang untuk melakukan perubahan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, walaupun mendapat saingan daripada pertumbuhan platform media atas talian pada masa ini, membaca surat khabar atau bahan bercetak masih sangat penting.

“Kita boleh baca e-buku, akhbar atas talian atau berita daripada portal tapi saya rasa membaca bahan bercetak masih lagi penting kerana bahan bercetak boleh memberikan kita rujukan arkib, dan kita masih memerlukan editor untuk memilih berita yang rakyat perlu baca,” katanya yang turut berpendapat akhbar dalam media sosial atau kumpulan Whatsapp mungkin tidak mendapat gambaran penuh mengenai perkara yang berlaku di sekeliling.

Beliau turut menggesa para wartawan akhbar untuk memanfaatkan kebebasan media pada era Malaysia baharu ini untuk menghasilkan sesuatu laporan akhbar dengan mendalami laporan akhbar tersebut serta melakukan penyelidikan dan analisis agar laporan berita lebih menarik.

Program sehari dengan kerjasama Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK) UMS, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar, dan Persatuan Wartawan Sabah (SJA) itu terbahagi kepada dua sesi wacana yang bertajuk ‘Laman Sosial sebagai Digital Agora dalam Malaysia Baharu’ dan ‘Kebebasan Media Dalam Malaysia Baharu’.

Hadir sama pada program tersebut Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali; Dekan FKSW, Prof. Dr. Ismail Ibrahim; dan Presiden SJA, Muguntan Vanar dan Timbalan Pengarah PPSKK, Talib Abdullah Shani.

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.