UMS –DBP Terbitkan Buku Realiti Berperantara Pertama di Malaysia

JUMAAT, 21 DISEMBER - Hasil perjanjian kerjasama penerbitan yang telah dimeterai  antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) awal tahun ini telah berjaya menerbitkan Buku Realiti Berperantara yang berjudul ‘Gergasi dan Penghuni Rumah Panjang’ dan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Buku yang merupakan hasil inovasi penyelidik UMS dari Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Profesor Dr. Low Kok On serta Profesor Madya Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim dari Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) itu menggabungkan cerita rakyat Sabah dan teka-teki dengan aplikasi teknologi Revolusi Industri 4.0, iaitu realiti berperantara (augmented reality).

Menurut Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Yusof Yacob, dalam kita menuju ke arah masyarakat pintar (Society 5.0) yang mampu mengoptimumkan keupayaan sedia ada, kita harus cuba memberikan komitmen terbaik untuk mengurangkan jurang digital disebabkan budaya dan sosial yang mungkin selama ini menjadi penghalang untuk mencapai kemajuan.

 “Kemudian, barulah kita dapat membangunkan sumber intelektual dan mencapai daya saing yang diperlukan. Walaupun perubahan ini tidak akan berlaku dalam sekelip mata, kita harus mempercepatkan proses dan universiti memainkan peranan sebagai ejen perubahan,” jelasnya.

Tambah beliau, dalam memastikan negara berkembang pesat, kita memerlukan lebih banyak penerbitan yang mempunyai kandungan lokal dan mencerminkan sosiobudaya masyarakat tempatan.

“Kita inginkan kandungan yang bersifat tempatan dari segi bahasa, karakter, muzik, lokasi dan sebagainya. Apabila kita sudah mula berjaya, kita pasti akan mula mencari-cari erti dan jati diri, dan ini memerlukan kandungan budaya dan masyarakat yang jauh dari pengaruh budaya luar. Ini merupakan cabaran yang sungguh susah terutama sekali apabila bila berada di dunia tanpa sempadan ini.

“Saya amat berterima kasih atas usaha UMS bersama DBP dalam menginovasikan buku-buku bersifat kebudayaan, yang mampu mengekalkan dan memberitahu kepada generasi baru kita bahawa inilah budaya kita dan inilah asal usul kita, dalam masa yang sama mampu menarik minat mereka dengan menggunakan teknologi-teknologi yang terkini seperti Augmented Reality ini dan sekali gus memberikan mesej bahawa budaya itu masih relevan walaupun kita hidup di dunia yang serba moden ini,” ujarnya.

Teks ucapan pelancaran beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Mohammad Mohamarin.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Shahril Yusof memberitahu bahawa koleksi cerita rakyat dalam buku ‘Gergasi dan Penghuni Rumah Panjang’ dan ‘The Giant and The Longhouse Folk’ merupakan penceritaan semula hasil kerja lapangan mengumpul cerita rakyat dan teka-teki daripada masyarakat tempatan Sabah yang ditemu bual.

“Ia dijalankan sepanjang tahun 2012 hingga 2013 di bawah geran penyelidikan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang terdahulu dan Geran Inovasi UMS yang membolehkan kerja lapangan dan pembinaan aplikasi ini dapat dijalankan,” katanya.

Buku Realiti Berperantara ‘Gergasi dan Penghuni Rumah Panjang’ dan ‘The Giant and The Longhouse Folk’ merupakan gabungan tiga buah cerita rakyat tempatan, yang diselitkan dengan sejumlah 27 buah teka-teki etnik Kadazan dan Dusun di Sabah, yang dikenali sebagai sundait.

Kedua-dua buku ini telah menerima pingat Emas pada Pertandingan Inovasi Universiti Malaysia Sabah 2014, pingat Perak pada International Invention, Innovation dan Technology Exhibition (ITEX) 2014 di Kuala Lumpur serta pingat Gangsa di Seoul International Invention Fair (SIIF) 2014 di Seoul Korea.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.