Lebih 700 Jayakan Program Solat Hajat Imtihan Perdana UMS

ISNIN, 24 DISEMBER – Lebih 700 warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) termasuk pelajar antarabangsa UMS melaksanakan solat hajat secara berjemaah bersempena dengan Program Solat Hajat Imtihan Perdana dan Majlis Makan Malam Bersama Pelajar Antarabangsa 2018 di Masjid UMS baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk D Kamarudin D Mudin, program anjuran bersama Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) dan Exco Kerohanian Persatuan Pelajar UMS itu adalah bagi meraikan pelajar UMS yang bakal menduduki Peperiksaan Akhir Semester 1 Sesi 2018/2019 bermula pada 27 Disember 2018 hingga 11 Januari 2019 serta meraikan pelajar Antarabangsa yang akan sama-sama membantu dalam pelaksanaan program berbentuk dakwah PIUMS.

“Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program seumpama ini mampu membuka ruang dan peluang dalam mewujudkan jalinan kerjasama antara kakitangan UMS dan pelajarnya dalam memudahkan serta menggerakkan aktiviti dakwah.

“Tugas berdakwah adalah tugas yang menjadi tanggungjawab semua pihak dan amatlah wajar bagi pelajar mempersiapkan diri dengan pengalaman sebelum menceburkan diri dalam dunia pekerjaan dan berhadapan dengan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin sempena majlis tersebut.

Tambah beliau, kapasiti bilangan pelajar yang ramai di UMS menjadi satu kebanggaan sekiranya pelajar turut sama berkecimpung dan menyokong apa jua aktiviti yang dianjurkan begitu juga dengan pelajar antarabangsa yang amat diharapkan menjadi duta dalam mempromosikan Sabah khususnya di negara masing-masing.

Terdahulu, Pengarah PIUMS, Prof. Madya Dr. Muhamad Suhaimi Taat dalam teks ucapan yang dibacakan Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan UMS, Noorisah Taljid berkata, program tersebut merupakan julung kali diadakan bersama jalinan dan gabungan Exco Kerohanian di UMS.

“Pertemuan kita pada hari ini antara lainnya adalah untuk menghubungkan silaturahim serta menambah baik hubungan yang sedia ada dan mewujudkan inisiatif baru bagi aktiviti yang belum dilaksanakan.

Program pada malam tersebut turut diserikan dengan Ceramah Motivasi yang disampaikan oleh Ketua Program Pendarasan Islam, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS, Dr. Issraq Hj. Ramli.

Hadir sama pada majlis itu Pegawai Hal Ehwal Islam UMS, Mohammad Fazri Abdul Hamid dan Pengarah Program Solat Imtihan dan Makan Malam Bersama Pelajar Antarabangsa 2018, Mohd. Rahman Awang Aman.

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.