Kolokium Pascasiswazah FPEP Bantu Tingkat Kelancaran Pengajian PhD Dan Ijazah Sarjana Pelajar UMS

ISNIN, 24 DISEMBER - Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS mengambil inisiatif meningkatkan kelancaran pengajian doktor falsafah dan sarjananya dengan menganjurkan Kolokium Pascasiswazah FPEP 2018 baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dr. Arif @ Kamiran Pusiran menjelaskan, objektif kolokium tersebut bagi menyemarakkan budaya berkongsi pengalaman awal mengenai penyelidikan yang dijalankan dalam kalangan pelajar.

“Ini penting bagi mengekalkan momentum pengajian yang positif, sekali gus akan menyuntik keyakinan pelajar untuk terus konsisten dalam pengembaraan penyelidikan mereka.

“Melalui kolokium ini, kaedah pembentangan yang digunakan berbentuk penerangan ringkas selama tiga minit mengenai kajian yang dijalankan dan perkembangan semasa pengajian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof Dr Rasid Mail ketika berucap merasmikan program tersebut berkata, adalah amat penting bagi pelajar pascasiswazah mengamalkan disiplin berada dalam kampus sambil mengikuti sebanyak mungkin sesi-sesi akademik berkaitan seperti kolokium yang diadakan.

“Secara tidak langsung para pelajar akan dapat memastikan proses pengajian mereka berjalan lancar dan pelbagai input baharu diperoleh bagi memperkemaskan lagi tesis mereka,” katanya.

Terdahulu, Dekan FPEP, Prof Madya Dr Raman Noordin ketika menyampaikan ucapan aluan berkata, penganjuran program seumpama ini secara tidak langsung memberi manfaat besar kepada pelajar dan penyelia pelajar tersebut.

“Kolokium ini tidak hanya mampu memberi galakan bukan sahaja kepada para pelajar bahkan juga kepada para penyelia pelajar mengenai nilai tambah yang perlu dilakukan kepada tesis pelajar masing-masing setelah mendengar sendiri pembentangan kelompok yang dihadiri.

“Kesediaan para pelajar untuk membentang di fasa kelulusan Cadangan Kajian dan viva-voce juga dapat ditentukan dan diperbaiki menerusi prestasi di kolokium ini,” ujar beliau.

Seramai 120 orang pelajar mengambil bahagian dalam Kolokium siri pertama yang merupakan program perintis yang diperkenalkan oleh FPEP bagi meneruskan usaha fakulti menghasilkan graduan Doktor Falsafah dan Sarjana yang berkualiti dari UMS.

 

Sumber: Dr. Jakaria Dasan, Timbalan Dekan (Kebajikan Pelajar), Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.