Sahut Saranan Kerajaan, Warga UMS Mulakan Jom Sihat di Tangga Pinakol

JUMAAT, 11 JANUARI -  Galakan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad  agar kakitangan pejabat kerajaan dan swasta membudayakan gaya hidup sihat dengan bersenam disambut baik oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui pekeliling ‘Jom Sihat’ yang diperkenalkan berkuatkuasa 02 Januari 2019.

Pekeliling yang diluluskan oleh Mesyuarat Pengurusan Pihak Berkuasa Universiti (PKPBU) UMS itu memberi kelonggaran kepada kakitangan untuk keluar bersenam pada pukul 4.00 petang setiap Rabu kecuali cuti umum.

Tinjauan media Rabu lalu menyaksikan, warga kampus memberi tumpuan untuk berjalan kaki ulang-alik menaiki tangga Pinakol, sebuah destinasi tarikan pelancong yang baharu dengan rekaan mural corak manik etnik Rungus di sepanjang 138 laluan anak tangga dari Dataran Dewan Canselor menuju ke arah Bangunan Canselori.

Salah seorang kakitangan yang ditemui, Dr. Jakaria Dasan berkata, senaman dan riadah merupakan kunci kepada minda yang cerdas dan fizikal yang cergas.

“Sehubungan itu, langkah UMS memperkenalkan ‘Jom Sihat’ amat wajar bagi membolehkan para kakitangan mempunyai tahap kesihatan yang baik untuk melakukan sebarang kerja dengan lancar dan berkesan.

“Dalam masa yang sama, ia secara tidak langsung mampu mengukuhkan ikatan silaturahim sesama pekerja serta membina  hubungan erat antara kakitangan dan pihak pengurusan universiti,” katanya yang juga merupakan Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat UMS.

Seorang lagi kakitangan, Razeki Rashid ketika ditemui memaklumkan program ‘Jom Sihat’ membolehkan warga kampus menghayati nikmat keindahan kampus UMS yang dikelilingi gubahan landskap mempesona serta panorama alam semula jadi yang menggamit jiwa.

“Sebagai contoh, ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki di tangga pinakol yang sebelum ini cuma terasa indah dipandang ketika memandu masuk dan pulang kerja.

“Tapi pada kali ini, saya berada di sini berlari turun naik tangga dengan rasa bangga sambil menghayati akan keunikan corak yang dihasilkan dengan penuh kreativiti oleh pelajar dan pensyarah Teknologi Seni Visual Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS bersama lima orang pelukis tempatan,” ujarnya sambil menyifatkan tangga itu berpotensi sebagai sebuah mercu tanda baharu UMS dan bandar raya Kota Kinabalu.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.