Warga UMS Sambut Baik Amanat Menteri Pendidikan

RABU, 16 JANUARI - Amanat Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang kelmarin mendapat reaksi positif daripada pelbagai pihak.

Di Universiti Malaysia Sabah (UMS), amanat itu turut disambut baik oleh pengurusan tertinggi universiti yang turut mengikuti setiap kata-kata yang dilafazkan sepanjang tempoh lebih sejam amanat itu berlangsung.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk K Y Mustafa menyifatkan amanat tersebut sungguh jelas dan harus dilaksanakan dengan sempurna.

“Saya melihat apa yang dikatakan menteri berhubung autonomi dengan bertanggungjawab yang memerlukan etika dan integriti untuk dilaksanakan adalah antara dua perkara yang perlu dititikberatkan. 

“Saya juga melihat kewajaran yang tinggi apabila Dr. Maszlee menyentuh tentang keutamaan terhadap menaikkan martabat pengajaran Bahasa Inggeris kerana sememangya untuk bersaing di peringkat antarabangsa, kita perlu menguasai bahasa pertuturan global ini yang turut digunakan meluas sebagai bahasa penulisan ilmu dan bahasa urusan perniagaan,” katanya sambil menyatakan perkongsian penutup amanat Dr. Maszlee tentang kisah dan jasa guru beliau ketika di bangku sekolah sebagai sesuatu yang sangat memberi inspirasi dan perlu dicontohi.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, empat hala tuju yang disebut Menteri Pendidikan untuk Universiti Awam dan Institusi Pengajian Tinggi akan dijadikan sebagai tunjang dalam usaha UMS untuk terus melangkah maju ke hadapan.

“Empat hala tuju tersebut iaitu kualiti, autonomi, kolaborasi dan  pengantarabangsaan akan menjadi asas ke arah sebuah universiti awam berinovatif sehingga ke peringkat global sesuai dengan visi UMS sejak awal penubuhan.

“Justeru, adalah menjadi harapan saya agar semua pemegang taruh yang terlibat akan dapat menjadikan perkara ini sebagai suatu dorongan sekali gus agar kita semua bersama-sama dapat merealisasikannya. Syabas saya kepada Yang Berhormat Dr. Maszlee,” katanya.

Bagi Prof Dr. Rasid Hj Mail, beliau menyatakan bahawa hala tuju sektor pendidikan Malaysia menunjukkan kematangan bila mana amanat Menteri Pendidikan menyentuh isu dasar.

“Ia bukan sahaja mencakupi aspek perkakasan seperti infrastruktur, tetapi menitikberatkan aspek perisian yang bersangkutan tranformasi penyampaian, isu sistem nilai, kasih sayang, saling menghormati dan kelestarian,” katanya.

Jelas beliau, warga pendidik mempunyai landasan kukuh untuk memartabat pendidikan sebagai medium penting pembangunan negara dan generasi masa hadapan.

“Di peringkat IPT penekanan aktiviti penyelidikan yang berimpak kepada masyarakat dan negara merupakan mesej yang jelas mengangkat martabat sektor pendidikan negara dalam agenda pembangunan.

“Untuk negeri Sabah pendekatan mesra rakyat dan orientasi pelajar memberi sinar baharu kepada penambahbaikan kualiti pendidikan luar bandar.

“Akses, inklusiviti, autonomi antara pemboleh ubah yang memberi sinergi halatuju pendidikan negara dalam tahun 2019,” ujarnya yang merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS.  

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dr. Ismail Ali memuji amanat Dr Maszlee yang dikatakannya bersifat holistik dengan menyentuh hak pelajar secara spesifik.

Beliau berkata, pemerkasaan siswa-siswi menepati ciri-ciri melahirkan kumpulan pelajar yang kelak akan berada dalam keadaan lebih bebas tapi terkawal untuk perdebatan ilmu dalam bilik kuliah dan ruang legar terbuka.

“Melalui keberdayaan yang diberikan kepada pelajar seperti pewujudan ‘Student Corner’, pelajar pastinya akan terpantul mindanya dan teruji pemikirannya dalam perdebatan kritis yang matang.

“Apabila mereka bergraduat kelak, mereka akan lebih bersedia untuk memasuki pasaran kerja yang memerlukan tenaga kerja yang proaktif dan responsif,” tambahnya.

Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof pula memaklumkan, amanat tersebut sangat bertepatan dengan keadaan semasa terutama sekali berkaitan peranan universiti dalam menghasilkan graduan holistik.

Menurut beliau, penekanan kecintaan terhadap ilmu menjadikan universiti sebagai tempat yang membahagiakan kepada pelajar dan diharap ia akan menjadi pemangkin terhadap lanskap pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik serta menghasilkan graduan yang lebih menghargai pengalaman pencarian ilmu di universiti.

“Kuasa autonomi dan akauntabiliti yang diberikan kepada sekolah dan universiti, amat bersesuaian terutama dalam usaha universiti memindahkan ilmu kepada masyarakat. 

“Melalui kuasa autonomi dan akauntabiliti ini, universiti boleh menyediakan acuan yang lebih sesuai, lebih dekat dengan keperluan dan masalah masyarakat setempatnya,” ujarnya.

Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat) Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat, Dr. Jakaria Dasan pula tertarik dengan kaitan antara pendidikan dengan Wawasan 2020 yang disebutkan Dr Maszlee.

“Sudah kena pada masanya untuk mengimbau kembali mengenai pernyataan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ada hubungkaitnya dengan Wawasan 2020 yang dicetus oleh Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad yang kini tinggal kurang 12 bulan sahaja lagi.

“Para pendidik selaku agen perubahan yang mampu menjadikan masyarakat ini sebagai masyarakat yang maju perlu sedar akan keharmonian antara Falsafah dan Wawasan 2020. Bak kata Yang Berhormat Menteri, guru adalah titik mula, yakni teras yang menunjukkan jalan sebenar menuju ke tahun 2020,” katanya.

Menyedari hal ini Jakaria berkata,  guru atau kumpulan pendidik perlu memakmurkan hubungan dua hala yang bukan hanya memberi didikan ilmu kepada pelajarnya tetapi juga menjadikan guru itu ilmuan yang terbilang.

Bagi Pengerusi Persatuan Staf Akademik UMS, Dr. Mohd Nor Azan Abdullah, amanat tersebut disifatkannya sebagai amanat yang terbaik.

Ujarnya, penekanan pendidikan untuk semua merupakan titik asas memanusiakan manusia melalui ilmu dan sifat ingin tahu seperti yang dinyatakan oleh menteri dalam konsep memanusiawi manusia.

“Pengantarabangsaan universiti dalam bidang kepakaran ilmu akan meletakkan universiti sebagai jaguh ilmu sejagat dan bukan lagi sebagai jaguh diperingkat  tempatan sahaja.

“Universiti Jaguhan ilmu sejagat akan menjadi rujukan utama sejagat sebagai medan intelektual antarabangsa,” katanya.

Beliau yang juga Exco Universiti-Universiti Awam Malaysia berkata, pendidikan adalah tanggungjawab semua dalam melahirkan "cendiakawan Awam" dan sebagai penyelesai masalah masyarakat.

“Sistem pendidikan dalam masa yang sama memupuk rasa kasih sayang,  kebahagiaan dan saling menghormati serta institusi menjadi tempat yang membahagiakan.

“Amanah menteri adalah semata-mata untuk kecemerlangan pendidikan negara Malaysia yang maju lagi berjaya,” tambahnya.

 

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.