FSSA UMS Anjur Sesi Perkongsian Peluang Peroleh Dana NGS

ISNIN, 11 FEBRUARI – Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan satu sesi perkongsian bersama Pengarah Kanan Program dan Pembangunan Peneroka bagi Asia Pasifik di National Geographic Society (NGS), Dr. Yannick Kuehl di bangunan FSSA baru-baru ini.

Sesi perkongsian yang bertemakan “Peluang Memperolehi Dana daripada National Geographic Society” itu diadakan bertujuan untuk membolehkan pensyarah dan pelajar memperolehi maklumat secara langsung berkenaan dengan status aktiviti dan projek-projek penyelidikan terkini NGS dan mengetahui lebih jelas tentang kriteria yang diperlukan untuk memohon geran yang ditawarkan oleh pihak NGS.

“Ini bersesuaian dengan Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) yang telah menjadi agenda global apabila Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memperkenalkan 17 matlamat yang perlu dicapai menjelang 2030.

“Justeru, pihak pengurusan eksekutif FSSA komited untuk melaksanakan beberapa matlamat pembangunan lestari dalam 17 dimensi utama SDG yang disasarkan,” menurut satu kenyataan dari FSSA.

Dalam pada itu, Dr. Yannick telah memberi penerangan mengenai kategori geran yang ditawarkan oleh pihak NGS pada sesi perkongsian tersebut, selain turut berkongsi kepada para peserta tentang latar belakang dan misi yang ingin dicapai oleh NGS melalui inisiatif yang dilakukan organisasi tersebut seperti memberikan sokongan berbentuk dana kepada para penyelidik saintifik.

Beliau turut percaya bahawa sesi perkongsian tersebut telah membolehkan pihak FSSA untuk menjalinkan hubungan baik dengan pihak NGS yang akan memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak dalam aspek penyelidikan pada masa hadapan.

Hadir sama pada sesi perkongsian itu Dekan FSSA, Prof Dr. Baba Musta; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Dr Mohd Sani Sarjadi, dan pensyarah-pensyarah dari pelbagai program serta pelajar pascasiswazah FSSA.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.