Siswa UMS Jayakan Enam Projek Komuniti ‘Project For Happiness 2018’

KHAMIS, 28 FEBRUARI – Sejumlah RM39,375 pembiayaan telah diluluskan oleh Khind Starfish Foundation bagi membiayai enam projek komuniti ‘Project For Happiness 2018’ yang dijayakan oleh siswa-siswi Universiti Malaysia Sabah.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, ‘Project For Happiness’, sebuah projek tajaan Khind Starfish Foundation yang bertujuan memupuk pelajar bagi menguruskan dan melaksanakan projek komuniti yang dapat memberikan kebahagiaan dan pada masa sama menangani masalah kemiskinan dan pendidikan di Malaysia.

“Bagi UMS, ini adalah penyertaan kali pertama dalam program ini dengan sejumlah enam daripada sepuluh penyertaan projek telah diluluskan untuk pembiayaan, dengan para peserta turut dikehendaki mengumpul minimum 10% daripada jumlah dana projek sebagai salah satu syarat bagi meningkatkan impak projek tersebut.

“Program ini mendapat sokongan kuat daripada pensyarah serta pelajar dari Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Sains dan Sumber Alam dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, dan saya percaya lebih ramai lagi pelajar UMS dari fakulti lain akan menyertai program ini pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Komuniti, Prof. Dr. Coswald Stephen Sipaut sempena Majlis Penutupan ‘Project For Happiness 2018’ di International Student Lounge, Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS.

Tambah beliau, semua aspek dalam ‘Project For Happiness’ yang meliputi pendidikan, pembasmian kemiskinan, kebudayaan dan seni persembahan, perlindungan alam sekitar, kebajikan haiwan, dan keharmonian antara kaum harus mendapat perhatian sewajarnya.

“Diharapkan kolaborasi sebegini akan berterusan bagi menggalakkan inisiatif, inovasi dan daya  keusahawanan pelajar dalam menggunakan kaedah kreatif bagi membantu meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi masyarakat setempat melalui inistiatif kelestarian komuniti,” ujar beliau

Dalam pada itu, Projek Kelestarian Rekacipta dan Pelaksanaan ‘Biosand Filter’ di Kampung Singgaraan, Ranau terpilih untuk menerima anugerah projek terbaik, dengan para ahli kumpulan tersebut menerima hadiah barangan yang disampaikan oleh Pengerusi Khind Starfish Foundation, Cheng Ping Kiat.

Lima lagi projek yang telah dilaksanakan dengan jayanya ialah Projek Penapisan Air Hujan di Kampung Tagasan Jaya, Semporna; Projek HOPE; Projek ‘No More Cloudy Water’ di Papar; Projek Menggalakkan Belia di Tambunan Untuk Mengelak Daripada Pengambilan Alkohol; dan Projek Kampus Tanpa Penyedut Minuman Plastik.

Untuk rekod, projek tajaan Khind Starfish Foundation telah dimulakan sejak tahun 2014 dan penyertaan terbuka kepada semua pelajar di institusi pendidikan tinggi di Malaysia.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.