70 Peserta Sertai Bengkel Tangani Kesihatan Mental Kanak-kanak

KHAMIS, 28 FEBRUARI: Seramai 70 peserta menyertai Bengkel “Super Skills for Life” yang dianjurkan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama University of Roehampton, United Kingdom, baru-baru ini.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FPP UMS, Dr. Denis Andrew D Lajium berkata,  penganjuran program itu antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta faktor-faktor dan tatacara untuk mengatasinya masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak.

“Teknik berdasarkan modul yang dinamakan “Super Skills for Life” ini merupakan hasil kajian selama 30 tahun oleh Pensyarah University of Roehampton, Prof. Dr. Cecilia Essau yang turut mengendalikan sepanjang dua hari bengkel ini berlangsung.

“Kita berterima kasih kerana bengkel yang buat julung kalinya diadakan ini mendapat penyertaan memberangsangkan daripada guru-guru, pensyarah, wakil agensi dan persatuan serta ibu bapa sekitar daerah Kota Kinabalu,” katanya pada majlis tersebut.

Menurut Denis, semua peserta yang hadir turut digalakkan untuk memanfaatkan sepenuhnya segala ilmu yang dipelajari dan berkongsi serta mengamalkannya di peringkat sekolah, persatuan, komuniti dan institusi keluarga masing-masing.

"Berdasarkan statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi pada tahun 2017, Sabah mencatatkan jumlah kanak-kanak mempunyai masalah kesihatan mental tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

"Sehubungan itu, penganjuran bengkel ini sememangnya bertepatan dalam usaha membendung dan menghindari masalah ini daripada berlarutan,” ujarnya yang hadir mewakili Dekan FPEP, Prof. Dr. Ismail Ibrahim.

Sementara itu, Prof. Dr. Cecelia berkata, hasil kajiannya itu telah diaplikasi di beberapa  tempat di beberapa negara dan terbukti ia berkesan dalam menangani kanak-kanak yang dirundung masalah ini.

"Biasanya mereka mengalami depresi atau masalah kesihatan mental ini adalah akibat beberapa faktor, antaranya tekanan peperiksaan di sekolah, stres dalam pelajaran dan akibat dibuli oleh rakan-rakan. 

“Dalam modul ini, kesemua peserta diajar bagaimana mengajar kanak-kanak untuk meningkatkan keyakinan diri, membina emosi positif, tatacara menghadapi situasi di bawah tekanan, teknik menenangkan diri dan beberapa lagi yang lain,” katanya.

Cecelia turut memaklumkan bahawa modul yang dihasilkannya kini lebih mudah kerana telah diterjemah ke bahasa melayu oleh tiga pensyarah FPP UMS iaitu Suwaibah Zakaria, Dr. Agnis Sombuling dan Aminuddin Ibrahim Lastar.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.