Khidmat Komuniti Di SK Tampulan, Telipok Inisiatif UMS Bantu Sekolah Daif Sekitar Sabah

ISNIN, 25 MAC - Program Khidmat Komuniti Universiti Malaysia Sabah (UMS) Menaiktaraf Bangunan Kelas Tahun Tiga di Sekolah Kebangsaan Tampulan, Telipok merupakan inisiatif daripada UMS sebagai usaha untuk membantu sekolah daif sekitar negeri Sabah.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk K Y Mustafa berkata, ini juga adalah usaha UMS dalam membantu pembangunan pendidikan di Sabah, di samping menjadi medium kepada para pelajar untuk bergiat aktif dalam hal ehwal sukarelawan bagi mencurah bakti sesuai dengan idea memasyarakatkan siswa.

“Projek yang turut dibantu oleh Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS ini telah dilaksanakan oleh Kelab Penyayang UMS yang terdiri daripada pelajar UMS seramai 15 orang, dan telah bermula sejak bulan Oktober 2018 sehingga projek ini selesai dan sedia untuk digunakan.

“Saya dimaklumkan, sepanjang projek ini dijalankan, pihak sekolah bersama dengan penduduk kampung sekitar SK Tampulan turut sama membantu dan memberi tunjuk ajar kepada sukarelawan UMS yang terlibat dalam memastikan projek ini dapat dilaksanakan seperti yang telah dirancang, dan sudah pasti nilai tambah yang diperolehi oleh pelajar yang terlibat ini akan menjadi pengalaman bermakna buat mereka sebagai kegunaan dimasa hadapan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program tersebut di SK Tampulan, Telipok.

Tambah Datuk K Y Mustafa, nilai tambah yang diperoleh tersebut bertepatan dengan nilai-nilai dalam Pendidikan yang ditekankan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik iaitu Sayang (Love), Kegembiraan atau Kebahagiaan (Happiness) dan Saling Menghormati (Mutual Respect).

“Setelah  bangunan ini dinaiktaraf kita berharap agar murid-murid dapat melalui proses pelajaran dan pembelajaran  dengan lebih kondusif dan semoga usaha ini mampu menjadi sumber motivasi kepada para pelajar untuk terus cemerlang.

“Sebagai  institusi pendidikan tinggi yang berada di negeri ini, UMS sentiasa komited untuk terus menjalinkan hubungan bersama dengan sekolah-sekolah sekitar Sabah untuk sama-sama berbakti dan menyumbang dalam memastikan pendidikan di Sabah tidak ketinggalan.

“Tambahan pula, Menteri Pendidikan sendiri telah meletakkan keutamaan dalam membantu sekolah-sekolah daif yang ada di Sabah sebagaimana yang disebutkan dalam amanat beliau pada awal tahun ini,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Mistirine Radin berkata, SK Tampulan, Telipok amat bertuah kerana menjadi pilihan Kelab Penyayang UMS untuk menjalankan khidmat komuniti.

Katanya, sekolah tersebut sememangnya menghadapi keperluan mendesak kerana sebelum ini keadaan kelas yang asal adalah daif dan tidak kondusif bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran, dan telah berlaku sekian lama sehingga menggangu tumpuan murid ketika belajar dan guru yang mengajar juga terjejas terutama semasa keadaan cuaca melampau.

“Projek Menaiktaraf Kelas Tahun Tiga ini adalah hadiah yang sangat bernilai kepada sekolah ini, khususnya kepada murid-murid yang akhirnya dapat mengalami suasana kelas sebenar.

“Kemudahan ini diharap dapat meningkatkan lagi semangat mereka untuk hadir ke sekolah, sekali gus melonjakkan prestasi dalam bidang akademik dan kokurikulum, serta guru-guru juga akan lebih mudah mengaplikasikan pedagogi dan pembelajaran abad ke-21” katanya dalam teks ucapan yang disampaikan oleh wakil beliau, Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Terry Henry.

Pada majlis tersebut, Datuk K Y Mustafa menandatangani plak perasmian kelas tahun tiga serta memotong reben sebagai simbolik kepada perasmian naiktaraf kelas tersebut.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali; Guru Besar SK Tampulan, Fo Nee Khen; Pemaju Mukim Inanam, Ronny Roger Biun yang mewakili ADUN Inanam, Kenny Chua Teck Ho; dan Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.