Cemerlang Pelbagai Bidang, UMS Mahu Lahirkan Sumber Manusia “Future-Proof”

ISNIN, 25 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS)  berusaha untuk mencapai kecemerlangan akademik dalam pelbagai bidang dengan memperoleh pelbagai pencapaian dan pengiktirafan antarabangsa.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, usaha itu merangkumi aspek  pembelajaran dan pengajaran, penyelidikan dan penerbitan, perkhidmatan sosial, serta  pengkhususan yang seimbang dalam pengetahuan dan perkembangan personaliti pelajar.

“Ia seiring dengan harapan universiti untuk menjadi sebuah institusi yang pakar dalam melatih serta melahirkan tenaga sumber manusia yang mampu bersedia mendepani kepesatan perkembangan dan cabaran masa depan (future-proof human resource).

“Dalam masa sama, ia membolehkan universiti ini mewujudkan modal insan yang bersedia menyumbang ke arah kemajuan masyarakat sejagat dan negara,” katanya.

Datuk Dr. D Kamarudin berkata demikian pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) yang bertemakan “Meet & Greet, Local, International Students and Postgraduates”, di Ruang Legar Bangunan PPIB, hari ini.  Teks ucapan beliau disampaikan Penolong Naib Canselor, Prof. Dr. Marcus Jopony.

Menurut Datuk Dr. D Kamarudin, UMS sentiasa komited sepenuhnya untuk mencapai standard kualiti tertinggi dalam aspek akademik dan bukan akademik.

“Sejak penubuhannya, UMS telah menghasilkan sumber manusia, pakar dan profesional dalam pelbagai bidang.

“Dengan visi melahirkan pendidikan berkualiti tinggi kepada siswa-siswi tempatan dan global, para pelajar prasiswazah dan pascasiswazah menerima bimbingan dan peluang pembelajaran dalam persekitaran yang menghargai bakat dan inovasi,” jelasnya.

Program Hari Terbuka yang diadakan sehingga 29 Mac 2019 itu turut diisi dengan kempen derma darah, gerai jualan, persembahan pelajar antarabangsa dan acara kebudayaan.

Hadir sama pada majlis perasmian, Dekan PPIB, Prof. Dr. Jualang @ Azlan Abdullah Gansau.

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.