Biodiversity Festival @ ITBC 2019 Platform Beri Kesedaran Tentang Kepentingan Penjagaan Biodiversiti

RABU, 27 MAC – Penganjuran Biodiversity Festival @ ITBC anjuran Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu menjadi platform terhadap memberi pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan penjagaan biodiversiti khususnya di negeri Sabah.

Pengarah IBTP, Prof. Madya Dr. Monica Suleiman berkata, penganjuran festival tersebut juga antara lain memberi ruang kepada agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dengan aktiviti pemuliharaan biodiversiti di Sabah untuk bersama-sama menyampaikan pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan penjagaan alam sekitar, sekali gus mewujudkan interaksi di antara institut dengan masyarakat melalui pengisian aktiviti yang dapat memberikan semangat dan pengetahuan.

“Antara aktiviti yang diadakan sempena Biodiversity Festival 2019 adalah seperti Bird Watching, Fun Shooting Archery, Bengkel Fotografi, Young Scientist at Work, Board Games, Galeri BORNEENSIS Open Day,  ceramah berkenaan kepelbagaian Biologi, Spelling Bee, tayangan video, pertandingan mewarna, pertandingan pakaian ‘Mascot’ serta penyertaan oleh peniaga Food Trucks.

“Aktiviti utama pula adalah program Rakan BORNEENSIS yang menyasarkan penglibatan generasi muda dari sekolah rendah dan menengah dengan tujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran kepada pelajar sekolah terhadap kepentingan pemeliharaan alam semula jadi ke arah persekitaran lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Biodiversity Festival @ ITBC 2019 dan Majlis Penutupan Rakan BORNEENSIS 2019 yang berlangsung di perkarangan bangunan IBTP, pagi tadi.

Tambah Dr. Monica, Biodiversity Festival 2019 yang terbuka kepada orang awam itu diharap mampu membawa manfaat kepada semua pihak lantas melahirkan generasi muda yang lebih mencintai alam semula jadi khusus kepada biodiversiti kerana alam flora dan fauna sememangnya tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan seharian masyarakat.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin melalui teks ucapan perasmian yang disampaikan oleh Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam, Prof. Dr. Baba Musta berkata, pihak pengurusan UMS menyambut baik segala usaha dan pencapaian IBTP sebagai sumber rujukan berbagai pihak luar dan dalam negara mengenai hal-hal kepelbagaian biologi dan pemuliharaan.

“Melalui program Rakan BORNEENSIS yang telah dilaksanakan sejak 2015 misalnya memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai pelbagai ilmu serta kemahiran berkaitan dengan penghayatan kepelbagaian serangga, tumbuhan, mamalia, burung dan sebagainya.

“Setelah melaksanakan program ini selama tiga hari dengan penglibatan seramai 39 orang murid dari 12 sekolah menengah, 9 sekolah rendah dan 1 home school, saya melihat ini sebagai suatu perkembangan yang positif tahun ini.

“Sekiranya jumlah tersebut bertambah tahun hadapan, mungkin ada keperluan IBTP mengadakan program berkenaan di daerah-daerah lain di seluruh Sabah pula,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Prof. Dr. Baba Musta kemudiannya menyampaikan sijil peserta program Rakan BORNEENSIS kepada 39 peserta.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.