UMS Sokong Pembangunan Polisi Bandaraya Rendah Karbon Nasional

JUMAAT, 29 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi memberikan sumbangan pandangan ilmiah dan perkongsian pengalaman kepada iltizam kebangsaan dalam pembangunan Pelan Induk dan Polisi Bandaraya Rendah Karbon Nasional (‘National Low Carbon Cities Masterplan and Policy Roadmap’) di bawah Projek Green Technology Application for the Development of Low Carbon Cities (GTALCC) menerusi satu Sesi Perbincangan Kumpulan Fokus (‘Focus Group Discussion’, FGD) khas untuk para pemegang taruh Sabah yang telah diadakan pada 25 Mac 2019; Isnin di Hotel Hilton Kota Kinabalu.

FGD tersebut telah dihadiri oleh Kueh Boon Hee @ Kelvin selaku Pemangku Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus, Dr. Lillian Gungat, Ketua Program Kejuruteraan Awam Fakulti Kejuruteraan serta Dr. Wan Khairul Muzammil Abd. Rahim, Ketua Unit Penyelidikan Tenaga Fakulti Kejuruteraan. Dr. Lillian dan Dr. Wan Khairul Muzammil adalah dua orang tenaga pakar UMS yang banyak melibatkan diri dalam perihal pengurusan sistem pengangkutan dan tenaga secara lestari dalam kampus.

Projek GTALCC adalah satu usahasama di antara United Nations Development Programme (UNDP), Global Environment Facility (GEF) dan Kerajaan Malaysia yang diterajui oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan dilaksanakan oleh Sustainable Energy Development Authority (SEDA). Projek GTALCC ini dibahagikan kepada tiga komponen, iaitu Sokongan Polisi, Kesedaran Awam dan Pembangunan Kapasiti serta Pelaburan dan Pembiayaan. Projek ini dijangkakan selesai pada penghujung 2020 dengan menghasilkan satu polisi yang boleh menggembleng setiap lapisan masyarakat Malaysia menuju usaha bersepadu membentuk persekitaran bandaraya yang rendah karbon dan lestari agar mampu menyahut seruan mencapai sasaran pengurangan pelepasan karbon sebanyak 45% pada 2030.

Sesungguhnya inisiatif ini amatlah serasi dengan Agenda EcoCampus yang telah diangkat sejak 2013 demi menjadikan UMS sebagai titik rujukan dalam pembangunan lestari serantau malahan sedunia. Ia juga bersesuaian dengan komitmen UMS dalam penandaarasan kelestarian kampus dan alam sekitar melalui UI GreenMetric World University Ranking yang mana untuk 2018, UMS berada di tangga ke-71 di dunia (719 buah universiti dan 81 buah negara – dalam lingkungan 10% universiti paling lestari dan hijau di dunia) dan tangga ke-32 di dunia dalam Kategori Universiti Bandaraya

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.