Warga Emas Harus Diberi Perhatian, Dihargai dan Dihormati

KHAMIS, 18 APRIL - Warga emas seharusnya diberikan perhatian, dihargai dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Sabah, Patrick Tan Su Teck berkata, golongan itu bukan sahaja mempunyai pengalaman yang luas dan banyak berjasa kepada masyarakat, malah mampu menjadi rujukan generasi muda dalam melaksanakan tugas-tugas seharian.

“Pandangan dan nasihat mereka wajar dijadikan panduan untuk kesejahteraan hidup pada masa depan.

“Justeru, warga emas perlu diberikan layanan yang sewajarnya agar mereka dapat hidup bahagia dan tidak terasa dipinggirkan,” katanya.

Beliau berucap demikian di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), kelmarin ketika merasmikan Seminar Golden Mind, Intergenerasi Warga Emas dan Kanak-Kanak & Program Show Your Talent anjuran Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah dan UMS.

Yang turut hadir, Pengarah JPKA Sabah, Mujin Durin; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP)  UMS, Dr. Denis Andrew D. Lajium; Timbalan Pengarah (Persekutuan) JPKA Sabah, Hajah Dg. Rugayah Awang Besar dan Wakil Pengarah Bahagian Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Norliza Mokhtar.

Patrick Tan berkata, masyarakat termasuk golongan muda sepatutnya sedar bahawa jasa warga emas sangat tinggi nilainya dan tidak dapat dibandingkan dengan wang ringgit.

Ujar beliau, generasi muda yang menghormati dan berbuat baik kepada golongan warga emas sama ada ibu bapanya sendiri  ataupun orang lain juga secara tidak langsung mewujudkan  masyarakat  penyayang dan harmoni.

“Masyarakat yang harmoni pula akan mewujudkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial dalam negara,” jelasnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri Sabah.

Terdahulu, Dr. Denis Andrew dalam ucapan aluannya berkata, penganjuran program itu merupakan salah satu pengisian aktiviti daripada kerjasama Surat Niat (LoI) yang ditandatangani antara FPP UMS dengan JPKA pada Mac lalu.

Beliau yang hadir mewakili Naib Canselor UMS berkata, selain aktiviti seminar seumpama itu, JPKA dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia juga sudah lama memberikan ruang kepada pelajar-pelajar UMS khususnya di FPP untuk menjalani latihan praktikal di jabatan mereka di seluruh Malaysia.

“Justeru, besarlah harapan kami di UMS agar dengan adanya aktiviti seumpama ini boleh menyokong usaha kita ke arah mengadakan jalinan kerjasama Memorandum Persefahaman (MoU) kelak,” katanya.

Program sehari itu turut dijayakan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Pusat Aktiviti Warga Emas, dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO).

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.