UMS – FINAS Tandatangan LoI Semarak Industri Perfileman dan Kreatif Tempatan

RABU, 24 APRIL - Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani Surat Niat (LoI) bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), di Bangunan Canselori, hari ini.

LoI tersebut antara lain bertujuan sebagai pembangunan modal insan dalam kalangan penggiat industri filem dan kandungan kreatif dengan pelajar-pelajar UMS melalui penganjuran bengkel latihan atau program-program yang menjurus kepada pengetahuan dan kemahiran.

Di samping itu, kerjasama juga melibatkan pelaksanaan program ‘pitching’ dan ‘incubator’ antara penggiat industri filem dan kandungan kreatif dengan pelajar-pelajar UMS.

LoI yang ditandatangani juga akan merangkumi kerjasama dalam penganjuran simposium, konferens, kursus jangka pendek, bengkel, seminar serta sebagai medan pertukaran idea, maklumat, pengalaman, ‘best practice’ dan rangkaian industri antara penggiat industri filem dan kandungan kreatif dengan UMS.

Majlis menandatangani dokumen LoI disempurnakan Dekan FKSW UMS, Dr. Marsitah Mohd Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dengan disaksikan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul dan Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal FINAS, Subaidah Md Top.

Terdahulu dalam ucapannya, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah berkata, hubungan yang terjalin antara UMS dan FINAS sangat strategik kerana filem merupakan salah satu elemen pendidikan yang efektif.

Katanya, perfileman dan pendidikan mempunyai hubungan yang sangat intim.

“Pendidikan formal seperti yang ada di sekolah dan universiti akan berakhir selepas kita akan meninggalkan universiti atau sekolah.

“Tetapi pendidikan yang berterusan adalah melalui industri pop kerana ini sangat dekat dengan kita dan filem adalah salah satu daripadanya,” katanya.

Menurut Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah, Sabah mempunyai ramai orang yang kreatif seperti gelaran yang diberikan kepada negeri ini sebagai ‘The Land of Creative People.’

“Sehubungan itu, LoI ini diharapkan menjadi platform untuk mencipta ekosistem kepada penggiat perfileman dan kreatif di Sabah termasuklah para pelajar UMS yang menuntut dalam program pengajian berkaitan agar mampu pergi lebih jauh dalam bidang ini,” katanya. 

Sementara itu, Ahmad Idham dalam ucapannya berkata, UMS merupakan universiti yang pertama bersama FINAS menandatangani LoI sejak beliau dilantik menerajui FINAS pada Mac lalu.

“Apabila saya masuk ke FINAS, salah satu agenda kita ialah memfokuskan kepada pembangunan industri perfileman di Sabah dan Sarawak.

“Saya berasa amat berbangga untuk datang ke UMS dan menandatangani Surat Niat kerana ini adalah permulaan kepada agenda tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, penggiat industri perfileman di Sabah sebenarnya sudah bersedia namun berhadapan dengan masalah kekurangan peluang  dan kekurangan dari sudut infrastruktur untuk berkarya.

“Untuk itu, saya merasakan bahawa apabila kita mengadakan LoI dengan UMS, FINAS boleh menjadi badan merancakkan pembikinan filem di Sabah sekali gus memberi ruang dan peluang kepada pelajar universiti terlibat sama dalam bidang ini,” tambah Ahmad Idham.

Pada majlis itu FINAS turut menyampaikan Dana Mikro dan Dana Produksi kepada 18 syarikat produksi filem tempatan.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.