Kolej Kediaman Lebih 10 Tahun Wajib Diaudit

SELASA, 7 MEI - Pihak pengurusan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan kolej kediaman perlu melakukan audit keselamatan dan melaksanakan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang efisien bagi mencegah kemalangan, kejadian berbahaya dan penyakit.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata audit keselamatan secara tahunan perlu diwajibkan untuk kolej kediaman yang berusia lebih 10 tahun.

Katanya, audit keselamatan secara berkala serta budaya penyelenggaraan amat penting bagi memastikan aspek keselamatan terjamin sepanjang masa.

"Kita tidak tahu tahap keselamatan di kolej-kolej kediaman seluruh negara kerana tiada kajian menyeluruh dibuat.

"Mungkin perlu dilaksanakan audit keselamatan di semua kolej kediaman ini agar dapat dinilai tahap keselamatan dan segala kelemahan dapat diperbaiki," katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Seminar KKP di Kolej Kediaman Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat ke-2, UMS.

Tambah beliau, beberapa kajian yang dijalankan di kolej kediaman sebelum ini menunjukkan pelbagai kelemahan termasuk ketiadaan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP), pintu rintangan api serta alat pemadam api tidak mencukupi manakala tempat berkumpul serta papan tanda arah keluar juga tidak kelihatan.

"Ada juga kolej kediaman yang langsung tidak melaksanakan latihan kebakaran atau "fire drill" manakala tahap kesedaran KKP masih rendah dalam kalangan penghuni yang terdiri daripada para siswa-siswi," katanya.

Justeru, beliau berkata NIOSH menyokong hasrat Pusat Perumahan Pelajar dan Hospitaliti (PPPH) UMS untuk memperolehi Pensijilan ISO45001:2018 dan ini merupakan langkah proaktif yang wajar dicontohi IPT lain termasuk yang telah memperolehi pensijilan OHSAS 18001 atau pensijilan yang lain.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali ketika menyampaikan teks ucapan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, seminar yang dijayakan oleh PPPH bersama-sama Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP) UMS dan Majlis Pengetua-Pengetua Kolej Kediaman (MaPeK) UMS adalah bertujuan untuk memberi kesedaran akan kepentingan KKP di Kolej Kediaman berdasarkan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Di samping itu, kita juga mahu meningkatkan pemahaman pelajar dan kakitangan tentang tanggungjawab berkaitan KKP di tempat kerja, selain pengetahuan terhadap prinsip asas pencegahan kemalangan dan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil, serta membudayakan kerja selamat dan sihat dalam kalangan pelajar dan kakitangan,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah PKKP, Prof. Dr. Khamisah Awang Lukman; Pengerusi MaPeK, Dr. Fredie Robinson; dan Pengarah PPPH, Talib Abdullah Shani.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.