Makmal UMS Yang Pertama Di Sabah Terima Akreditasi Bagi Analisis DNA Untuk Pengesanan Halal

RABU, 8 MEI – Makmal Analisis Kualiti Makanan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapat pengiktirafan melalui penganugerahan Sijil Akreditasi Makmal MS ISO/IEC 17025: 2017 di bawah skop Ujian Pengesanan DNA Bagi Makmal Analisis Kualiti Makanan oleh Jabatan Standard Malaysia, sekali gus menjadi makmal akreditasi pertama yang menjalankan ujian DNA bagi tujuan pengesahan halal di Sabah.

Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Datuk Fadilah Baharin berkata, ini menjadikan UMS kini mempunyai tiga buah makmal yang telah diakreditasi, iaitu Makmal Haemostasis Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Makmal Analisis Air Fakulti Sains dan Sumber Alam untuk pengujian kimia, dan terbaru Makmal Analisis Kualiti Makanan untuk pengujian Asid Nukleik.

“Dari segi inisiatif Makmal Panel Halal pula, Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mewujudkan Makmal Panel Halal (MPH) bagi mempercepatkan proses permohonan Pensijilan Halal Malaysia, dan antara syarat utama untuk menjadi MPH adalah perlu mendapatkan akreditasi MS ISO/IEC 17025: 2017.

“Dalam hal ini, Makmal Analisis Kualiti Makanan mempunyai potensi besar untuk menjadi makmal pertama di Sabah yang akan dilantik sebagai Makmal Panel Halal JAKIM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh wakil beliau, Pengarah Perancangan Strategik Jabatan Standard Malaysia, Hussalmizar Hussain dalam satu majlis penyampaian sijil akreditasi tersebut di Dewan Bankuasi UMS.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Madya Ts Dr. Ramzah Dambul yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin pada majlis itu berkata, inisiatif FSMP mendapatkan akreditasi makmal bagi analisis DNA untuk pengesanan halal adalah tepat dan sejajar dengan pembangunan industri halal negara.

Menurut beliau, dengan adanya tenaga kepakaran di FSMP, usaha-usaha untuk menyokong dan memperkasakan industri halal di Sabah khasnya dapat ditingkatkan.

“Melihat kepada peluang dan potensi industri halal, pemain industri tempatan di Sabah seharusnya mengambil inisiatif untuk mengukuhkan pembangunan kapasiti dalam kalangan pengeluar dan pengeksport Malaysia.

“Pihak universiti akan terus memainkan peranan bagi menyediakan platform untuk berkongsi pengalaman dan mewujudkan peluang kerjasama antara agensi-agensi dan pihak berkepentingan dalam industri halal terutamanya di Sabah,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah turut menyaksikan penyampaian sijil akreditasi oleh Hussalmizar kepada Dekan FSMP, Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.