FPSK UMS Mahu Kerjasama Pelbagai Pihak Untuk Capai Sifar Thalassemia Di Sabah

KHAMIS, 9 MEI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) sedia untuk bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Persatuan Thalassemia  Sabah untuk menjalankan kajian bagi menurunkan ancaman kes Thalassemia di Sabah, selari dengan rangka kerja ke arah mencapai sasaran sifar Thalassemia di Sabah menjelang 2025.

Ketua Jabatan Perubatan Keluarga dan Komuniti FPSK, Datuk Dr. Mohd Yusuf Ibrahim berkata, ini kerana berdasarkan statistik negeri Sabah mencatatkan enam peratus kes Thalassemia meletakkan negeri ini dalam senarai teratas bagi kes tertinggi Thalassemia.

“Bahkan mengikut kajian kami terdahulu catatan kes Thalassemia di Sabah adalah pada lapan peratus, iaitu peratusan kes bukan sahaja tertinggi di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia, dan angka ini amat membimbangkan.

“Justeru, kita perlu melakukan satu strategi yang drastik dan berbeza daripada program-program yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan negeri Sabah tidak asing lagi dalam memainkan peranan penting dalam Thalassemia dengan menjadi negeri pertama yang memulakan pemeriksaan untuk Thalassemia untuk wanita hamil yang dimulakan di Keningau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Seminar Thalassemia di Sabah di Auditorium FPSK, baru-baru ini.

Menurut beliau, seminar yang dianjurkan FPSK bersama Persatuan Perubatan Desa Sabah dan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (SWACH) itu adalah satu program yang bersempena dengan Sambutan Hari Thalassemia Sedunia yang diraikan pada 8 Mei.

“Seminar ini adalah satu usaha untuk menyebarkan maklumat terkini berkaitan kes Thalassemia, serta perkongsian pengalaman pesakit Thalassemia sebagai kesedaran kepada masyarakat awam tentang kes Thalassemia,” kata Datuk Dr. Mohd Yusuf.

Seminar sehari itu menyaksikan perkongsian perkembangan terkini berkaitan Thalassemia oleh wakil JKNS, Dr. Soh Chin Li dan wakil SWACH, Dr. Yap Shook Ye, selain sesi forum dan perkongsian penyelidikan oleh wakil dari KKM dan pensyarah FPSK UMS.

Seminar tersebut dirasmikan oleh Pengarah SWACH, Dr. Tan Bee Hwai yang mewakili Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.