PROGRAM MATRIKULASI MASIH RELEVAN: NC UMS

nc matriksKHAMIS, 23 MEI - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin menegaskan bahawa Program Matrikulasi masih relevan dan terbukti telah berjaya meningkatkan bilangan pelajar bumiputera melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda di universiti awam khususnya dalam bidang sains, teknologi dan perubatan.

Katanya, ia diwujudkan dengan objektif asas sebagai laluan alternatif khas bagi pelajar bumiputera untuk memasuki universiti selain kemasukan melalui kelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sijil Diploma atau lain-lain kelayakan yang setara.

“Dalam konteks negeri Sabah, Program Matrikulasi adalah penting dan relevan sebagai laluan alternatif pelajar bumiputera dari pelbagai etnik (termasuk yang berdarah campuran atau “sino”) mengikuti pengajian peringkat sarjana muda di universiti, termasuklah di UMS.

“Sebagai makluman, setiap sesi akademik, UMS menerima kemasukkan sejumlah pelajar lulusan program Matrikulasi dari seluruh negara.

“Di negeri ini, pelajar adalah dari pelbagai daerah, termasuk dari luar bandar, dan bagi sesi kemasukan akademik 2018/2019, sekitar 21% pelajar tahun pertama UMS ialah dari program Matrikulasi berbanding 58% dari STPM,” ujar Prof. Datuk Dr. D Kamarudin.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini berhubung keputusan Mesyuarat Kabinet Jemaah Menteri yang mengekalkan kuota 90 peratus untuk pelajar Bumiputera dan 10 peratus untuk pelajar bukan Bumiputera sebagai pelaksanaan bagi kemasukan ke Program Matrikulasi.

Menurut Prof. Datuk Dr. D Kamarudin, satu perkara yang wajar diketahui dan difahami oleh semua pihak ialah setelah pelajar memasuki universiti, mulai tahun pertama pengajian sehinggalah tamat pengajian, semua pelajar  mempunyai peluang yang sama untuk menunjukkan kemampuan masing-masing sebagai pelajar prasiswazah.

Dengan erti kata lain ujarnya, semuanya adalah setara dan tidak ada kelebihan pelajar lulusan Matrikulasi berbanding lulusan STPM mahupun Diploma ketika berada di universiti.

“Justeru, selari dengan objektif asas dan kejayaan serta sumbangannya selama ini, Program Matrikulasi perlu diteruskan merujuk kepada dasar yang telah ditetapkan.

“Kesangsian tentang program ini sewajarnya dihentikan demi menjaga keharmonian negara kita.

“Kita perlu beri tumpuan untuk memberi pengalaman serta pengetahuan yang holistik kepada semua pelajar yang berjaya mendapat tempat di universiti ke arah menghasilkan graduan yang future-ready di zaman Industri 4.0,” jelas Prof. Datuk Dr. D Kamarudin lagi.

Untuk rekod, keputusan Jemaah Menteri mengekalkan kuota 90:10 bagi pelaksanaan program Matrikulasi baru-baru ini telah menimbulkan kesangsian daripada beberapa pihak yang tampil mempersoalkan kerelevanan program itu selain wujudnya tanggapan bahawa kemerosotan graduan universiti adalah akibat daripada ramainya pelajar lulusan Matrikulasi memasuki universiti.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.