Inovasi Sosial UMS Mampu Manfaatkan Lebih 200 Penduduk Kampung Pituru, Pitas

SELASA, 9 JULAI – Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berbentuk inovasi sosial sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam menjayakan Projek Bekalan Air Bersih Kampung Pituru Timbang Taun, Pitas mampu memanfaatkan lebih 200 penduduk kampung tersebut.

Projek hasil inisiatif Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) UMS dengan kerjasama Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) sebagai penyumbang dana utama turut melibatkan kerjasama penduduk kampung, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah, dan Himpunan Ilmuan UMS dalam menjalankan kerja pembinaan infrastruktur projek tersebut.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul ketika merasmikan projek tersebut berkata, projek inovasi ini menunjukkan penekanan fungsi universiti yang bertanggungjawab dalam memacu alihan ilmu teoritikal kepada inovasi, seterusnya diterjemah ke lapangan untuk menyelesaikan isu-isu komuniti terutamanya penduduk di pedalaman Negeri Sabah.

“Kumpulan penyelidik UMS mencipta inovasi saringan air yang mampu memendapkan kandungan lempung yang tinggi hasil dari sumber air sebuah kolam takungan semula jadi di kawasan tersebut, dan air tersebut kemudiannya ditapis untuk proses penjernihan akhir.

 “Justeru, secara dasarnya pelaksanaan projek ini menuntut kepakaran dalam bidang hidrologi, geologi, sains sekitaran dan aplikasi kejuruteraan asas dalam menjayakannya, dan inilah peranan yang perlu dimainkan oleh para ahli akademik UMS,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pituru, Mair Mari berkata, penduduk kampung secara zahirnya rasa bersyukur atas pelaksanaan projek itu di kampung tersebut.

“Penduduk kampung yang selama ini bergantung kepada air hujan dan air yang tidak dirawat dengan sempurna sebagai sumber air sudah mampu menikmati kemudahan bekalan air bersih untuk kegunaan harian,” ujar beliau.

Turut hadir pada acara perasmian projek tersebut Dekan FSSA, Prof. Dr Baba Musta; Pengurus Besar PBNS, Tuan Haji Salman Nurillah; dan profesor dari FSSA, Prof. Dr. Kawi Bidin selaku ketua projek.

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.