FPEP UMS Anjur Bengkel Semakan Kurikulum dan Mobiliti Pelajar

ISNIN, 22 JULAI - Dalam usaha memastikan graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dilahirkan mampu memenuhi ciri-ciri sumber manusia yang diperlukan oleh majikan pada masa kini, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS telah mengadakan Bengkel Semakan Kurikulum dan Mobiliti Pelajar bagi melihat semula kurikulum pengajaran dan pembelajaran untuk tujuan penambahbaikan.

Menurut Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Raman Noordin, semakan terhadap setiap kurikulum bagi program yang ditawarkan oleh FPEP ini melibatkan semua pensyarah mengikut bidang program masing-masing.

“Ini adalah satu usaha pihak fakulti untuk menyusun semula kurikulum  pengajaran dan pembelajaran mengikut kesesuaian dan tuntutan persekitaran masa kini.

“Sikap prihatin kita terhadap kebolehpasaran graduan menerusi bengkel seperti ini perlu terus dibudayakan sesuai dengan keadaan persekitaran yang pantas berubah,” katanya.

Bengkel sehari itu dimulakan dengan sesi forum yang bertajuk 'Enhancing Graduates' Capabilities Toward IR 4.0’ yang dikendalikan oleh pensyarah kanan FPEP, Prof. Datuk Dr. Hj. Kasim Md. Mansur sebagai pemudah cara dan melibatkan tiga ahli panel, iaitu Pengurus SME, CIMB Bank, Rose SP Chong; Ketua Sabah Credit Corporation Cawangan UTC Kota Kinabalu, Zahir Ridwan Zainal; dan wakil pelajar UMS, Wan Azmir Ali.

Dalam forum tersebut, Datuk Kasim berkongsi beberapa fakta berkaitan pasaran kerja yang menjadi semakin terhad pada masa kini, antaranya adalah berhubung dengan model perniagaan yang menyaksikan jumlah pelanggan di restoran semakin berkurangan disebabkan oleh peningkatan perkhidmatan penghantaran makanan.

“Kebolehpasaran graduan sangat berkait rapat dengan ekonomi negara, jika ekonomi negara berkembang dengan baik, maka lebih banyak peluang pekerjaan dapat disediakan.

“Namun senarionya keadaan ekonomi sekarang berada dalam keadaan menguncup yang menanti masa yang sesuai untuk berkembang,” kata Datuk Kasim.

Rose SP Chong pula berkongsi mengenai sektor perbankan yang turut menerima impak hasil dari Revolusi Industri 4.0 (I.R 4.0), yang menyaksikan persepsi tidak tepat masyarakat yang beranggapan kebanyakan cawangan bank ditutup kerana pihak bank mengalami kerugian.

“Ini tidak benar, kerana sebenarnya agensi perbankan juga telah beralih kepada sistem perbankan digital yang lebih memberi keselesaan kepada pelanggan bank untuk berurusan secara atas talian.

“Melihat kepada pasaran perbankan yang bersifat global, adalah amat penting bagi graduan universiti untuk memberi penekanan terhadap kemahiran berbahasa Inggeris serta bahasa antarabangsa lain khususnya bahasa Mandarin,” katanya.

Dalam pada itu, Zahir Ridwan ketika dalam forum tersebut menjelaskan bahawa segala pembelajaran yang dipelajari sebenarnya hanya akan menjadi data kuno, yang disebabkan oleh kepantasan perkembangan teknologi.

Justeru itu, katanya kurikulum pembelajaran pada masa kini perlu memberi tumpuan kepada literasi digital.

“Sumber manusia perlu bersedia untuk menyesuaikan diri dengan cara bekerja terkini atau mereka menjadi tidak relevan disebabkan oleh teknologi yang berubah.

“Selain itu, kemahiran komunikasi interpersonal dalam kalangan rakan sekerja dan pelanggan juga merupakan satu elemen penting yang perlu dititikberatkan,” kata Zahir.

Sependapat dengan beliau adalah Wan Azmir Ali yang berkongsi pengalaman sewaktu menjalani latihan industri, yang menurut beliau keyakinan dalam berkomunikasi khususnya dalam Bahasa Inggeris tidak dinafikan sebagai suatu kelebihan, tetapi majikan akan lebih tertarik dengan kakitangan yang mampu menyampaikan idea dengan baik dan meyakinkan.

Selain sesi forum, turut diadakan ceramah berkaitan kaedah penilaian yang boleh meningkatkan kualiti pelajar yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Kecemerlangan Pengajaran dan Kualiti Akademik (PKPKA), Prof. Dr. Vincent Pang Ah Fook.

Menurut Prof Vincent, penilaian pelajar itu dilakukan sebagai satu usaha untuk meningkatkan daya fikir minda pelajar dan bukannya untuk tujuan pemberian markah semata-mata.

“Sebagai contoh dalam konteks pendidikan berteraskan IR4.0, persembahan pelajar tidak lagi diukur berdasarkan kepada kemantapan pelajar itu membuat persembahan dengan menguasai beberapa elemen merujuk kepada dirinya.

“Sebaliknya, persembahan pelajar hendaklah juga mengambil kira sejauh mana penonton iaitu rakan-rakan sekelasnya faham dengan penyampaian yang dibuat oleh seseorang pelajar itu,” ujar beliau.

Bengkel sehari itu turut diisi dengan sesi-sesi pembentangan program-program lain oleh para pensyarah FPEP yang terlibat.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.