Buku UMS Diperaga Di Pesta Buku Terbesar Dunia ‘Frankfurter Buchhmesse’

ISNIN, 21 OKTOBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Penerbit UMS buat julung kalinya telah menyertai pesta buku terbesar dunia ‘Frankfurter Buchhmesse’ atau Frankfurt Book Fair (FBF) di Frankfurt, Jerman baru-baru ini.

UMS yang diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Madya Ts Dr. Ramzah Dambul dan Pengarah Penerbit UMS, Prof Madya Dr. Asmiaty Amat merupakan antara peserta rombongan Malaysia ke FBF yang turut disertai Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik.

Menurut Prof Madya Dr. Asmiaty, FBF berbeza dengan acara-acara perbukuan dunia yang lain kerana lebih kepada memperdagangkan hak cipta yang merangkumi kandungan buku, gagasan dan inovasi, hak terjemahan, hak penerbitan, kontrak dan pelbagai persepakatan lain.

“Selaku universiti tunggal dari rantau Borneo, UMS memperaga sebuah buku yang unik tentang Sabah berjudul ‘Kedaulatan Harga Mati: Pencerobohan Sulu dan Dampaknya Kepada Keselamatan Pantai Timur Sabah”, selain turut mempamerkan katalog buku-buku terbitan terkini UMS.

“Peluang menyertai pesta buku antarabangsa berprestij ini turut digunakan rombongan dari UMS untuk mengadakan perbincangan bagi menjalin kerjasama dengan beberapa penerbit dan syarikat ‘aggregator’ antarabangsa seperti EBSCO, APA Publishing, Springer, MC Graw-Hill, Bangla Academy, Cengage Learning Asia, Taylor & Francis dan De Marque Inc, Kanada,” katanya.

Jelas Dr. Asmiaty, perancangan kerjasama bersama para penerbit dan pemilik pangkalan data itu merangkumi kerjasama dari segi penggunaan teknologi digital seperti virtual dan augmented reality, penjualan hak cipta, serta kerjasama terjemahan dan penerbitan.

“Kolaborasi UMS dengan syarikat percetakan penerbitan dan pemilik pangkalan data antarabangsa diharap mampu memberi ruang terbuka kepada buku-buku terbitan UMS agar lebih mudah mencapai kesohoran antarabangsa, selari dengan hasrat universiti agar tulisan-tulisan ilmuan UMS lebih mudah dikongsi sesama kelompok akademia dan meningkatkan jumlah sitasi,” tambah Dr. Asmiaty.

Dalam pada itu, katanya bersempena pesta buku tersebut beberapa program telah diatur bersama dengan delegasi Malaysia termasuklah ucaptama oleh Dr. Maszlee Malik di Goethe University, pelancaran buku dan pertemuan-pertemuan kolaborasi.

“Satu persepakatan telah dijalin dalam bidang terjemahan secara bilateral menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) UMS bersama Cengage Learning Asia yang disaksikan sendiri oleh Dr. Maszlee sebagai salah satu kaedah pemasaran buku-buku UMS di peringkat Asia.

“Selain itu, Dr. Maszlee turut berkesempatan melancarkan buku terbitan UMS berjudul “Mediasi dalam Perkembangan Novel Sabah” bersama-sama 12 buku ahli Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh Presiden Goethe University, Prof. Birgitta Wolff dan pengkaji sastera dan Bahasa Melayu, iaitu Prof. Arndt Graf dan Prof. Bernd Northofer,” kata Dr. Asmiaty.

FBF yang berlangsung selama lima hari menghimpunkan sebanyak 705 pempamer kecil dan besar, yang mewakili penulis, editor, penerbit serta entiti-entiti penting industri penerbitan, pencetakan buku, jurnal dan filem serta pakar teknologi di seluruh dunia.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.