Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) telah memeterai satu kerjasama strategik dengan Beta Maju Sdn. Bhd sebagai usaha mengembangkan bidang sains sukan.

Kerjasama tersebut dimeterai dalam satu majlis menandatangani Surat Niat (LOI) antara kedua-dua pihak di FPPS, UMS.

Dekan FPPS, Prof. Madya Dr. Soon Singh mewakili UMS menandatangani LoI tersebut, manakala Beta Maju diwakili oleh Pengarah Urusan, Fadzrul Dullie.

Menerusi LoI tersebut, kedua-dua pihak bakal memperkukuh kolaborasi dalam penyelidikan ergogenik pemakanan, pembangunan produk makanan prestasi, dan pemasaran sains sukan.

Dalam pada itu, Soon Singh berkata kerjasama tersebut merupakan langkah strategik yang menghubungkan kepakaran akademik UMS dengan industri menerusi rangkaian Eureka Drinks yang dipasarkan syarikat tersebut.

“LOI ini bukan sekadar kolaborasi dalam penyelidikan tetapi merangkumi pemasaran produk dan pelaksanaan projek berkaitan sains sukan.

“Selain itu, ia memberi fokus kepada hubungan antara universiti dan industri, menyediakan peluang latihan industri kepada pelajar sains sukan serta potensi kerjasama dalam bidang lain,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama tersebut dijangka membuka dimensi baharu dalam pembangunan sains sukan di Malaysia, selain memberikan impak positif kepada pelajar, universiti, dan industri.

“Aspirasi bersama ini diyakini mampu memacu kemajuan dalam penyelidikan dan inovasi serta memperkukuhkan hubungan antara universiti dan sektor swasta,” katanya.

Sementara itu, Fadzrul turut menyatakan keyakinan beliau terhadap sinergi yang bakal dilaksanakan kedua-dua pihak kelak.

“Kami menyambut baik kerjasama ini, terutamanya selepas melihat fasiliti dan kepakaran FPPS.

“Sebelum ini, kami telah bekerjasama dalam beberapa projek sebagai penaja, dan ini memperkukuhkan keyakinan kami terhadap peluang situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FPPS, Dr. Md. Safwan Samsir; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Roslee Talip; Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Madya Dr. Rosy Talin, dan Ketua Pentadbiran FPPS, Victor Gondipon.

 

One Health Student Club (OSHC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program pendedahan konsep toksikologi dalam kehidupan kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kuala Penyu, baru-baru ini.

Program dengan tema “Exploring Toxicology 2.0: Navigating Health and Environment” merupakan usaha bersama Malaysia Society of Toxicology (MySOT), Pusat U-Science UMS dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah.

Majlis perasmian penutupan program tersebut disempurnakan oleh Pegawai Pejabat Pendidikan Kuala Penyu, Dr. Suntik Tuin.

Menurut Suntik, penganjuran program tersebut diharap dapat meningkatkan kesedaran murid sekolah tentang kepentingan memahami bahan toksik dan kesannya terahadap kesihatan serta alam sekitar.

“Program seperti ini sangat bermakna dan diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan untuk manfaat terutamanya kepada komuniti luar bandar. Kita juga berharap agar ilmu yang disampaikan pada program ini akan terus dapat dikongsi dalam kalangan murid dan rakan-rakan mereka.

“Selain itu, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada murid, tetapi juga melatih pelajar UMS untuk menjadi pemimpin yang berkaliber dalam mendidik generasi muda,” ujar beliau.

Sementara tu, Presiden MySOT, Dr. Rozaini Abdullah menekankan bahawa "Exploring Toxicology 2.0" merupakan satu langkah signifikan ke arah menyediakan pendidikan berkualiti kepada pelajar, selaras dengan matlamat pembangunan lestari (SDG).

Beliau menambah bahawa memahami risiko bahan kimia sejak awal adalah kunci untuk membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan dan alam sekitar.

“Salah satu pencapaian utama program ini ialah pelancaran Modul Toksikologi Outreach, yang juga telah menerima pengiktirafan hak cipta.

“Pengiktirafan ini mengukuhkan komitmen MySOT untuk menyediakan bahan pendidikan yang inovatif dan mudah diakses, bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga berpotensi ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Muhammad Khairyll Karl Ell Runzee @ Syamree, pelajar SK Pekan Kuala Penyu mengakui gembira kerana mendapat manfaat daripada proram tersebut.

“Saya gembira dan seronok hari ni, kami belajar banyak perkara berkaitan apa itu toksikologi, bagaimana cara yang betul dalam mengendalikan bahan kimia, cara mengenali simbol GHS di produk yang mengandungi kimia dan banyak lagi aktiviti yang seronok,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Presiden MySOT, Profesor Madya Ts. Dr. Razinah Sharif; Guru Besar SK Pekan Kuala Penyu, Mahadi dan Ismail; wakil KSTI, Siti Zubaidah Dassim dan Penasihat OSHC, Dr. Zulkhairul Naim Sidek Ahmad.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima sumbangan berjumlah RM 200,000 bagi pelaksanaan projek kajian dan pembudayaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) oleh universiti.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Synerlitz, Tan Sri Dato’ Setia Mohd Anwar kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly yang mewakili UMS dalam satu acara bersempena dengan Pertandingan Golf Amal Sempena Projek Loji Tenaga 100MW di Kimanis anjuran Synerlitz (M) Sdn Bhd.

Turut menyaksikan simbolik penyerahan Mock Cheque tersebut Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sr Hj Safar Untong dan Ketua Pegawai Eksekutif Synerlitz, Datuk Michael Lee.

UMS dalam satu kenyataan memaklumkan, dana tersebut akan dimanfaatkan oleh Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS, di bawah pimpinan Pengarah PPST, ChM. Dr. Newati Wid, untuk melaksanakan projek kajian STEM dan inisiatif membudayakan STEM dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.

“UMS merakamkan penghargaan atas sumbangan ini, yang dijangka memberi impak besar kepada pendidikan sains dan teknologi serta menyumbang kepada pembinaan generasi masa depan yang lebih berdaya saing,” demikian kenyataan dari UMS.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraih pengiktirafan terhadap aspek pematuhan sistem perakaunan standard dalam pengurusan kewangannya apabila dianugerahkan Sijil Pematuhan Sistem Perakaunan Standard bagi Agensi Kerajaan (SAGA) oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).

Penghargaan tersebut disampaikan oleh Akauntan Negara Malaysia, Nor Yati Ahmad kepada Bendahari UMS, Badrul Hisham Ismail, yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam Majlis Anugerah Sijil Pematuhan SAGA (MASS) Tahun 2024 yang berlangsung Wyndham Acmar Hotel, Klang baru-baru ini.

Anugerah tersebut merupakan pengiktirafan kejayaan UMS dalam memenuhi standard pengurusan kewangan berasaskan Government Resource Planning (GRP 9.0) yang dikendalikan oleh vendor yang dilantik dan diintegrasikan dengan pelbagai subsistem kewangan dalaman universiti melalui kerjasama antara Jabatan Digital dan Jabatan Bendahari UMS.

Menurut Badrul, kejayaan tersebut hasil usaha bersama seluruh pasukan yang bekerja keras memastikan pematuhan kepada 12 kriteria fungsian dan 8 kriteria teknikal yang digariskan dalam Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia (SPANM) Bilangan 3 Tahun 2018.

“Alhamdulillah, anugerah ini membuktikan komitmen UMS untuk mengekalkan pengurusan kewangan yang telus, berintegriti, dan sistematik.

“Ini juga memperkukuh usaha kami untuk mengurangkan kesilapan serta memastikan penyata kewangan dapat disediakan dengan tepat dan terkini,” katanya.

Tambah beliau, pematuhan kepada piawaian tinggi tersebut diyakini dapat mempertingkatkan keberkesanan pengurusan sumber kewangan UMS, sekali gus menyokong objektif universiti sebagai institusi pengajian tinggi yang cemerlang.

“Semoga pengiktirafan ini menjadi pemacu kepada UMS untuk terus melangkah ke hadapan dengan lebih telus dan berkesan dalam pengurusan kewangan,” ujar Badrul.

Majlis anugerah tersebut turut menyaksikan penyertaan pelbagai agensi kerajaan yang diiktiraf atas kejayaan masing-masing dalam mengukuhkan pengurusan kewangan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh JANM.

 

Penganjuran Minggu Tanpa Sampah di Kampung Tanjung Aru Lama, Kota Kinabalu merupakan satu projek komuniti yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan rasa tanggungjawab penduduk setempat khususnya penduduk Kampung Tanjung Aru Lama terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.

Program ini dianjurkan oleh pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan sokongan penaja utama, MyStarfish Foundation.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat, N22 Tanjung Aru, Mohd Reduan bin Datuk Hj Aklee.

Wakil dari Jabatan Urusan Sisa Pepejal Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jecky Jarimal menyatakan bahawa program ini berupaya memupuk semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan penduduk Kampung Tanjung Aru Lama dan Baru.

“Kami dari DBKK akan terus menyokong program seperti ini, sama ada dianjurkan oleh UMS mahupun pihak lain pada masa akan datang. Teruskan usaha ini kerana ia adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Selain itu, Ketua Badan Bukan Kerajaan (NGO) Trash Hero Kota Kinabalu, Zurainee Kula memuji inisiatif yang dianjurkan oleh UMS dan menyatakan bahawa program ini amat relevan dengan keadaan semasa.

“Inisiatif seperti ini dapat menyebarkan kesedaran kepada masyarakat, terutamanya kepada penduduk kampung. Program ini patut dicontohi oleh komuniti lain,” ujarnya.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh rakan-rakan penganjur, termasuk Komuniti Kampung Tanjung Aru Lama, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Kota Kinabalu, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Shan Tao, Sabah Environmental Protection Association (SEPA), Trash Hero, dan To Earth with Love.