Berbekalkan kekuatan semangat untuk mencapai hasrat melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS), salah seorang pelajar baharu UMS dalam ketegori B40 berjaya merealisasikan impiannya setelah terpaksa menolak tawaran kemasukan ke universiti tiga tahun lalu kerana kedudukan kewangan yang tidak mengizinkan.

Kimson Albert, 22 tahun yang berasal dari Kampung Murut, Kalabakan akhirnya bergelar pelajar baharu UMS setelah dua tahun gigih mengumpul wang dengan bekerja di kampung halaman beliau.

Menceritakan semula tentang tawaran kemasukan ke universiti yang ditolaknya tiga tahun lalu, Kimson menjelaskan selepas menamatkan pengajian dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sesi 2019/2020, beliau telah membuat permohonan melanjutkan pengajian ke peringkat universiti melalui Unit Pusat Universiti (UPU).

“Saya memang dapat tawaran melalui sistem UPU iaitu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.

“Namun, memikirkan universiti tersebut agak jauh dan keadaan kewangan keluarga yang kurang stabil pada waktu itu, saya terpaksa menolak tawaran tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Pelajar Baharu UMS Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2023/2024 di Dewan Canselor, UMS.

Beliau kemudiannya memutuskan untuk bekerja dan menyertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menjana kewangan dan membantu bapanya yang merupakan pekerja di ladang kelapa sawit.

“Selepas dua tahun bekerja, saya dapat mengumpulkan wang yang cukup dan saya membuat permohonan baru di UPU menggunakan keputusan STPM saya yang lepas.

“Pada akhirnya saya dapat tawaran di UMS dengan jurusan yang saya minati iaitu Geografi,” katanya.

Kimson menzahirkan kesyukuran kerana pada kali ini beliau telah mempunyai kewangan yang mencukupi hasil dari pekerjaannya yang membolehkan beliau membayar yuran pendaftaran bagi semester pertama pengajian.

“Selain itu, ahli keluarga yang lain juga ada membantu dalam kewangan sepanjang proses kemasukan ke UMS.

“Saya juga akan membuat pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menambah keperluan kewangan pada semester yang seterusnya,” ujarnya.

Kimson yang merupakan anak sulung dari tiga beradik turut menyatakan harapannya agar selepas tamat pengajian, beliau bercita-cita untuk memasuki profesion perguruan dan mengajar di sekolah tempat kampung halamannya, sekali gus mahu mengubah nasib keluarganya.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Seminar Akreditasi Akademik 2023 selama sehari yang bertujuan membincangkan kepentingan pembudayaan jaminan kualiti program akademik agar terus relevan.

Ia melibatkan peserta daripada pelbagai peringkat akademik dan kakitangan pentadbiran utama institusi pengajian tinggi untuk sama-sama memberikan komitmen kepada penambahbaikan kurikulum program pengajian masing-masing.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof, seminar tersebut antara lain bertujuan memberi ruang para peserta untuk mempertimbangkan program-program pengajian akademik agar lebih berdaya saing dan relevan dengan keperluan semasa.

“Penambahbaikan berterusan di dalam jaminan kualiti dan semakan kepada kurikulum program akademik institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing dapat membantu hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Ia untuk memacu kecemerlangan pendidikan tinggi tempatan agar selari dengan visi kementerian iaitu Pendidikan Tinggi Berkualiti, Insan Cemerlang, Negara Sejahtera,” ujarnya ketika merasmikan seminar yang berlangsung di Pusat Islam UMS, baru-baru ini.

Terdahulu, Pengerusi Seminar, Profesor Ir. Ts. Dr. Zainal Zakaria telah menggariskan objektif penganjuran seminar yang julung kalinya dilaksanakan.

“Objektif ini adalah untuk memastikan institusi masing-masing dapat menawarkan program yang berkualiti dan sentiasa sehaluan dengan arus perdana di dalam memastikan kualiti pendidikan global dapat dicapai.

“Ia juga bagi memaklumkan bahawa UMS akan sentiasa komited untuk bersama-sama dengan semua institusi tempatan di Sabah agar hasrat KPT dapat dicapai dengan memastikan semua program yang ditawarkan mendapat akreditasi dan jaminan kualiti.

“Diharapkan penganjuran seminar ini dapat mempertingkatkan ilmu dalam kualiti akademik IPT sebagai entiti penting yang terlibat dalam menyediakan pelan pendidikan, menyampaikan ilmu serta memikul tanggungjawab untuk merealisasikan transformasi pendidikan yang dicita-citakan oleh negara,” jelasnya.

Beliau menambah, pembinaan tamadun ilmu bakal terhasil apabila ilmu diberikan status sebagai ‘the highest good' dalam pembentukan peradaban insan sejagat melalui aktiviti seperti seminar yang dilaksanakan.

Seramai 130 peserta daripada pelbagai IPT tempatan di Sabah hadir dalam seminar tersebut.

 

KENINGAU: Pusat Pengurusan EcoFarm (EcoFarm), Universiti Malaysia Sabah (UMS) bangunkan bidang penyelidikan dan pembelajaran berkaitan perladangan kelapa sawit bersepadu di Keningau.

Majlis pelancaran kerjasama antara UMS dan Yun Fook Resources (YFR) berlangsung di Pusat Penyelidikan Makanan ternakan (PPMT) Kampung Apin-Apin Keningau, yang juga dikenali sebagai AFEEDRI.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Kasim Hj. Mansor, pelancaran tersebut merupakan kesinambungan daripada kerjasama yang telah dimeterai oleh kedua-dua pihak sewaktu lawatan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke UMS pada bulan Jun yang lalu.

“Pelancaran ini merupakan titik permulaan kepada kerja-kerja di lapangan bagi projek berkenaan, yang mana kawasan perladangan kelapa sawit bersepadu telah dibersihkan dan akan ditanam dengan pokok kelapa sawit, sesuai dengan penyelidikan yang dipersetujui dalam memorandum perjanjian.

“Tanaman lain yang akan disepadukan dengan tanaman kelapa sawit adalah seperti durian, nangka, avokado dan tanaman jangka pendek seperti tembikai untuk menambah nilai ekonomi ladang berkenaan,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly menjelaskan pelbagai perkara termasuk kesesuaian tanaman dengan keadaan cerun dan nutrien tanah, sumber air dan saliran telah dipertimbangkan oleh penyelidik UMS.

Katanya, bekalan air disalurkan menggunakan teknik fertigasi pintar ke kawasan yang agak kering untuk membolehkan tanaman berkenaan tumbuh dan mengeluarkan hasil menepati keperluan industri.

“Ini sesuai dengan hasrat kerajaan negeri melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang menekankan penggunaan teknologi dalam memantapkan industri pertanian,” ujarnya.

Pengarah EcoFarm, Ts. Dr. Januarius Gobilik turut menjelaskan bahawa projek penanaman kelapa sawit bersepadu seluas 33 ekar itu dijangka akan selesai pada Oktober tahun ini.

“Penyelidikan dan pembelajaran yang berkaitan akan dijalankan selari dengan kemajuan projek tersebut.

“Selain projek perladangan kelapa sawit bersepadu, projek lain di tanah UMS, Kg. Apin-Apin adalah perladangan kelapa (pandan dan tacunan) bersepadu yang dijalankan oleh UMS bersama Malaysian Kuwaiti Investment Corp. Sdn. Bhd. (MKIC). Kerja pembukaan tanah bagi projek MKIC sudah bermula dan pelancaran dijangka akan dilaksanakan pada penghujung Oktober,” tambahnya.

Selain daripada projek pembangunan tanah di Kg. Apin-Apin, Ecofarm UMS juga sedang dalam usaha memajukan kawasan tanah UMS di Mesilou, Kundasang sebagai Pusat Penyelidikan dan Pembelajaran Pertanian Tanah Tinggi.

Turut hadir pada pelancaran tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya. Dr. Raman Noordin; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, Pengarah Pusat Penyelidikan UMS, Prof. Dr. Jumat Sulaiman serta Dekan Fakulti Pertanian Lestari, Profesor Madya Dr. Azwan Awang.

 

Seramai 4,721 pelajar ditawarkan melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kemasukan sesi 2023/2024 yang mula mendaftar pada 30 September dan 1 Oktober 2023.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Hj Mansor, jumlah tersebut melibatkan 3,869 pelajar di UMS Kampus Kota Kinabalu, 661 pelajar di UMS Kampus Antarabangsa Labuan, dan 191 pelajar di Fakulti Pertanian Lestari Kampus Sandakan.

“Jumlah ini merangkumi 3,108 pelajar dari Sabah, 1,012 dari Semenanjung Malaysia, 513 dari Sarawak, dan 65 dari Wilayah Persekutuan Labuan.

“22 pelajar selebihnya merupakan pelajar antarabangsa dari 9 buah negara, iaitu 10 pelajar dari China, masing-masing tiga orang pelajar Jepun, dan Indonesia, manakala setiap seorang pelajar dari negara Bangladesh, India, Republik Yemen, Korea Selatan, Lebanon dan Myanmar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan pendaftaran pelajar di sini, hari ini.

Kasim turut memaklumkan, berdasarkan statistik tersebut, sejumlah 1,566 orang atau 33 peratus adalah pelajar lelaki, manakan 3,155 orang atau 67 peratus merupakan pelajar perempuan.

“Pengambilan pelajar turut merangkumi tawaran prasiswazah laluan khas UMS iaitu sebanyak 2,620 bagi pelajar B40 ambilan UPUonline, 15 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), lapan atlet sukan, dan 10 orang asli.

“68 program prasiswazah ditawarkan pada sesi ini, iaitu 34 program aliran sains dan 34 program aliran sastera di 12 buah fakulti dan satu akademi di UMS,” ujar beliau.

Kesemua pelajar baharu akan mengikuti program Minggu Suai Mesra (MSM) sehingga 4 Oktober sebagai persiapan bagi menyesuaikan diri dalam suasana kehidupan kampus.

 

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi tuan rumah sempena Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bilangan 7 tahun 2023, baru-baru ini.

Pada pembukaan mesyuarat tersebut, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor mewakili pengurusan tertinggi UMS menyampaikan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak KPT kerana memilih UMS sebagai tuan rumah pada kali ini.

“UMS turut berbesar hati mengucapkan terima kasih atas kelulusan projek-projek yang telah diberikan oleh KPT sebelum ini.

“Untuk makluman, pada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), KPT telahpun meluluskan sejumlah RM104 juta untuk 8 projek, manakala melalui RMK-12 pula, UMS menerima kelulusan RM109.5 juta meliputi 10 projek.

“Ini tidak termasuk projek-projek yang telah diluluskan melalui naik taraf infra usang dan fasiliti OKU dengan jumlah RM10.6 juta setakat ini,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan UMS sedang dalam pembinaan Hospital Pengajar UMS (HUMS) di bawah Public Private Partnership (PPP).

“Hospital Pengajar UMS telah pun mencapai 46% kemajuan dan dijangka siap pada bulan Jun tahun 2025,” tambahnya.

Bagi Rolling Plan ke-4 RMK12, UMS telahpun memohon sebuah Dewan Kuliah Pusat di Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan dengan anggaran kos berjumlah RM55.5 juta dan selebihnya adalah permohonan ICT, penggantian peralatan usang dan pembaikan bangunan asrama Kampus Antarabangsa Labuan yang telah usang.

Mesyuarat JTPK tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan & Pembangunan) Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff, wakil university awam, Politeknik, Kolej Komuniti dan agensi di bawah KPT.